SISMA Auto telah mengumumkan pembukaan SISMA Auto Hub, pusat 3S premium pelbagai jenama kereta mewah yang terletak di Glenmarie, Shah Alam, iaitu tapak yang dahulunya merupakan pusat 3S Land Rover. Di mana SISMA Auto Hub Glenmarie ini memberikan pilihan kepada pelanggan untuk membeli, menjual atau mendapatkan servis bagi sebarang jenama kereta mewah.
Pusat 3S premium ini menampilkan bilik pameran yang memuatkan 14 buah kereta dan 16 ruangan servis yang dilengkapi dengan peralatan dan kelengkapan diagnostik terkini. Pelanggan SISMA Auto Hub juga boleh membeli kereta mewah terpakai yang disahkan daripada nama yang dipercayai.
Selain itu, mereka juga boleh menjual kereta mewah terpakai pada harga yang berpatutan, dengan cepat dan telus dan mendapatkan khidmat servis bagi sebarang jenama kereta mewah yang dibeli dari mana-mana juga dengan mudah.
“Bagi kami, pengalaman premium 3S sewajarnya disediakan untuk semua pemilik kereta mewah. Di SISMA Auto Hub, pasukan kami yang berkemahiran tinggi akan memberikan perkhidmatan unggul yang sinonim dengan SISMA Auto,” kata Syed Khalil Syed Ibrahim, Pengarah Urusan, SISMA Auto.
Selain daripada Jaguar Land Rover (Malaysia) dan SISMA Auto Hub, syarikat tersebut pada masa ini mengendalikan dua cawangan Volvo, iaitu bilik pameran di Bukit Bintang, dan Pusat Service and Selekt di Glenmarie, yang terletak bersebelahan dengan SISMA Auto Hub. Malahan Volvo Car Malaysia telah mengiktiraf SISMA Auto menerusi anugerah ‘Dealer of the Year’ untuk dua tahun berturut-turut iaitu bagi 2020-2021.
Dalam masa yang sama, SISMA Auto menyasarkan untuk terus berkembang bersama jenama Volvo di Malaysia dan telah memulakan kerja pembinaan pusat kemudahan utama Volvo 3S di Sungai Besi. Pusat 3S empat tingkat yang mempunyai keluasan 50,000 kaki persegi ini melambangkan kemajuan perniagaan Volvo yang dikendalikan oleh SISMA Auto. Pusat kemudahan SISMA Auto Volvo yang baharu dijangka akan mula beroperasi pada penghujung 2022.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.