Triumph Tiger 1200 tiba di Malaysia – dari RM115,900

Triumph Tiger 1200 tiba di Malaysia – dari RM115,900

Hanya dua bulan selepas ia didedahkan kepada dunia buat pertama kali, Triumph Tiger 1200 2022 kini sudah tiba di Malaysia. Fast Bikes Sdn Bhd selaku pengedar rasmi motosikal Triumph di Malaysia membawa dua versi Tiger 1200 ini ke dalam negara, iaitu GT Pro dan Rally Explorer, dengan harga jualan masing-masing RM115,900 dan RM130,900 (tambah RM1,000 untuk warna Matt Khaki).

Peningkatan pada Tiger 1200 tahun 2022 ini adalah sangat menyeluruh, bermula dengan enjin tiga silinder T-Plane baru yang mempunyai kapasiti 1,160 cc dan mampu menghasilkan kuasa 148 hp pada 9,000 rpm dan 130 Nm tork pada 7,000 rpm. Dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, sistem pacuan kini ditukar kepada syaf dan bukan lagi rantai dan quickshifter diberikan terus secara standard.

Menurut Triumph, melalui kerangka serta enjin baru pada Tiger 1200 ini, beratnya sekarang 25 kg lebih ringan berbanding model sebelumnya, dan 17 kg lebih ringan berbanding pesaing terdekat dalam segmennya yang juga menggunakan pacuan syaf. Berat keseluruhan yang dicatat oleh GT Pro adalah 245 kg sementara Rally Explorer pula 261 kg.

Perkara utama yang membezakan GT Pro dan Rally Explorer adalah rim, di mana GT Pro menggunakan rim aluminium 19 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dengan tayar yang lebih kepada penggunaan atas jalan biasa sementara Rally Explorer pula datang dengan rim spoked 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang (tanpa tiub), dengan tayar dual purpose. Kemudiannya, Rally Explorer juga datang dengan tangki bahan api lebih besar, iaitu 30 liter, berbanding 20 liter pada GT Pro.

Kedua-dua versi Tiger 1200 ini menggunakan suspensi elektronik semi aktif Showa, tetapi terdapat perbezaan pada jarak geraknya, iaitu GT Pro 200 mm dan Rally Explorer 220 mm. Bahagian hadapan menggunakan fork USD 49 mm manakala di belakang menggunakan monoshock dengan penyerapan semi aktif dan larasan pra beban automatik.

Brek spesifikasi tinggi turut digunakan, terdiri daripada cakera berkembar 320 mm dengan angkup Brembo M430 Stylema di hadapan dan pam atas Magura HC1 manakala di belakang menggunakan cakera 282 mm dengan angkup Brembo satu piston. ABS two-channel adalah standard.

Pakej elektronik pada Tiger 1200 baru ini juga agak lengkap, dengan termasuk sistem Triumph Blind Spot Radar yang dibangunkan bersama Continental. Selain Cornering ABS dan Traction Control, ia juga mempunyai mod tunggangan yang terdiri daripada Road, Rain, Sport, Rider (boleh diubah oleh penunggang), Off-Road dan Off-Road Pro bagi varian Rally Explorer, sementara varian GT Pro mempunyai mod Road, Rain, Sport, Rider dan Off-Road.

Turut diberikan adalah Cruise Control, Hill Hold Control dan tongkat tengah. Semua informasi penting dipaparkan pada skrin TFT-LCD tujuh inci bersama sistem My Triumph Connectivity yang membenarkan sambungan kepada telefon pintar, navigasi serta GoPro (untuk semua varian).

GALERI: Triumph Tiger 1200 GT Pro 2022

GALERI: Triumph Tiger 1200 Rally Explorer 2022

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required