Sebagai sebuah pelopor industri automotif paling giat di Asia Tenggara, Thailand dijangka akan mengeluarkan lebih daripada dua juga kenderaan setahun dalam tempoh dua tahun ke depan sebagai langkah pemulihan ekonomi, lapor Bangkok Post. Federation of Thai Industries (FTI) berkata menjelang waktu itu, industri automotif Thailand sepatutnya pulih kembali daripada jualan perlahan yang disebabkan oleh larangan pergerakan akibat Covid-19.
Kali terakhir pengeluaran kenderaan di sana mencecah angka dua juta unit adalah sebelum pandemik, dengan 2,167,694 kenderaan pada 2018 — 1,142,733 unit daripadanya dikeluarkan untuk pasaran eksport. Tahun lalu, negara ini berjaya melepasi jangkaan FTI, dengan menambah pengeluaran sebanyak 18.1% dari tahun ke tahun kepada 1.68 juta unit, mengatasi sasaran 1.6 juta yang ditetapkan.
Bagi 2022, FTI menjangkakan pengeluaran akan meningkat lagi kepada 1.8 juta kenderaan, dengan ekport berada pada jumlah 900,000 hingga 950,000 unit. Dan ketika insentif untuk kenderaan elektrik — termasuk pengurangan 40% duti kastam — boleh merancakkan lagi import, ia tidak akan memberi kesan kepada pengilangan domestik dalam jangka panjang.
“Walaupun pengimport kenderaan akan menerima manfaat daripada pakej berkenaan, kerajaan tetap inginkan lebih bayak pelaburan bagi pembangunan EV dalam negara,” jelas Naib Pengerusi dan jurucakap organisasi itu, Surapong Paisitpatanapong.
Jawatankuasa Dasar EV Nasional Thailand mengumumkan Mac lalu bahawa ia mahukan EV meliputi 50% pengeluaran tempatan menjelang 2030, sebagai sebahagian daripada rancangan “ambitious” untuk menjadikan negara terbabit hab pengeluaran EV. Surapong berkata beliau percaya pakej insentif akan mampu memperkukuh industri automotif.
“Kita akan dapat lihat dengan lebih jelas perkembangan dalam pasaran EV pada separuh kedua tahun ini, dipacu oleh maklum balas insentif yang diberikan kepada pengeluar dan pembeli,” ujarnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.