Kabinet Thailand baru-baru ini telah mengumumkan beberapa langkah untuk membangunkan lagi pasaran EV di negara itu, seperti dilaporkan oleh Bangkok Post. Ini berikutan kerajaan telah meluluskan pakej insentif kewangan, termasuk potongan cukai dan subsidi, minggu lalu untuk menggalakkan penggunaan EV dan pengeluarannya bermula tahun ini hingga 2025.
Pertama, untuk mempromosi pengeluaran dan bekalan EV domestik antara 2022 dan 2025, kerajaan Thailand akan menyediakan subsidi antara 70,000-150,000 baht bergantung kepada jenis dan model kenderaan.
Kereta penumpang dengan kapasiti tenaga bateri antara 10-30 kWh akan diberi subsidi 70,000 baht (RM9,025) seunit, sementara subsidi bernilai 150,000 baht (RM19,340) akan diberi kepada kereta dengan lebih daripada 30 kWh bagi versi CKD dan CBU.
Trak pikap dengan kapasiti bateri lebih daripada 30 kWh dan CKD akan diberikan subsidi 150,000 baht (RM19,340) seunit. Sebagai tambahan, motosikal EV yang berharga sehingga 150,000 baht (RM19,340) boleh menerima subsidi 18,000 baht (RM2,322) bagi model CKD dan CBU.
Kerajaan Thailand juga mensasarkan untuk memangkin pengilangan domestik bagi EV dengan langkah seperti mengecualikan komponen EV daripada duti import. Ini termasuklah peralatan seperti bateri, motor, sistem pengurusan bateri, unit kawalan pacuan dan gear reduksi.
Sementara itu, duti kastam yang lebih rendah juga akan diberikan kepad kenderaan CKD dan CBU, dengan EV yang dijual pada harga sehingga dua juta baht (RM258,049) kini layak menikmati duti 40% sahaja, berbanding 80% sebelum ini.
Bagi EV dengan kapasiti bateri melebihi 30 kWh yang dijual antara harga dua dan tujuh juta baht (RM258,049 dan RM903,172), duti telah dikurangkan dari 80% kepada 60%, walaupun ini hanya untuk model CBU. Akhir sekali, kerajaan Thailand mengurangkan cukai eksais dari 8% kepada 2% bagi EV.
Jurucakap kerajaan, Thanakorn Wangboonkongchana berkata yang insentif EV itu diberikan kepada enam jenis kenderaan sebaik saja peraturan itu dilaksanakan sehari selepas Gazet Diraja diterbitkan di sana.
Beliau menambah, rancangan empat tahun itu dibahagi kepada dua bahagian; dari 2022 hingga 2024, insentif berkenaan bertujuan untuk menggalakkan penggunaan EV dengan lebih meluas dan pantas di Thailand dengan menawarkan pengecualian cukai dan subsidi bagi kereta dan motosikal yang dikeluarkan di sana.
Bahagian kedua rancangan itu pula dari 2024 hingga 2025 bakal menyaksikan kerajaan memberi tumpuan utama terhadap mempromosi pengeluaran EV domestik, dan akan membatalkan beberapa manfaat bagi kenderaan import.
Thailand akan mengambil langkah besar berkaitan EV dan telah menetapkan semula sasaran bagi EV untuk meliputi 30% daripada pengeluaran keseluruhan kenderaan — sekitar 750,000 daripada 2.5 juta unit — menjelang 2030, kepada angka yang lebih besar, 50%. Insentif ini pula tidak bukanlah dengan kos yang murah, memandangkan peruntukan tiga bilion baht (RM387 juta) telah disediakan dari belanjawan utama pada tahun kewangan 2022, dengan tambahan 40 bilion (RM5.16 bilion) antara fiskal 2023 dan 2025 juga telah dipersetujui untuk mempromosi penggunaan EV.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.