Mercedes-Benz C-Class W206 2022 kini di M’sia – C200 Avantgarde Line, RM288k; C300 AMG Line, RM330k

Mercedes-Benz C-Class W206 2022 kini di M’sia – C200 Avantgarde Line, RM288k; C300 AMG Line, RM330k

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah pun melancarkan barisan C-Class W206 2022 untuk pasaran tempatan. Ia ditawarkan dengan dua varian iaitu C 200 Avantgarde Line dan C 300 AMG Line. Kedua-duanya adalah model import sepenuhnya (CBU) yang berharga RM288,334 untuk C 200 Avantgarde Line dan RM330,681 bagi C 300 AMG Line. Ia adalah harga atas jalan, dengan rebat cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sehingga 30 Jun 2022, tanpa insurans serta ditawarkan dengan waranti empat-tahun tanpa had perbatuan.

Bagi varian C 200 Avantgarde Line, ia diberikan enjin 1.5 liter turbo empat-silinder dengan hamburan kuasa 204 hp pada 5,800 rpm hingga 6,100 rpm dan tork 300 Nm pada 1,800 rpm hingga 4,000 rpm. Sekaligus memberikannya pecutan 0-100 km/j dalam 7.3 saat dan kelajuan maksimum boleh dicapai sehingga 246 km/j.

Manakala C 300 AMG Line pula ditampilkan dengan unit M254 dalam kapasiti 2.0 liter empat-silinder dengan hamburan kuasa 258 hp pada 5,800 rpm hingga 6,100 rpm, sama seperti sebelum ini, tetapi lonjakan tork dinaikkan kepada 400 Nm pada 2,000 rpm hingga 3,200 rpm, berbanding 370 Nm sebelumnya. Kedua-dua varian C-Class turut diberikan transmisi 9G-Tronic sembilan-kelajuan dan penghidup-generator bersepadu (ISG).

Mercedes-Benz C-Class W206 2022 kini di M’sia – C200 Avantgarde Line, RM288k; C300 AMG Line, RM330k

Di mana ISG dengan bateri berkapasiti 70 Ah ini menggunakan sistem elektrikal on-board 48 voltan berfungsi bagi memastikan enjin lebih pantas meningkatkan kuasa prestasi tetapi dalam masa yang sama membolehkannya memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien. ISG ini turut memberikan tambahan kuasa sehingga 15 kW dan lebih tork sebanyak 200 Nm untuk memberikan kuasa yang lebih padu buat kedua-dua varian ini.

Turut diberikan ciri keistimewaan buat C 300 ialah tambahan kuasa sebanyak 20 kW bagi ledakan kuasa yang lebih menguja, hasil teknologi twin-scroll yang bertindak balas lebih pantas dengan sistem forced induction. Teknologi tersebut dibangunkan hasil kerjasama antara pembuat pengecas turbo Mercedes-Benz dan pasukan Mercedes-AMG Petronas Formula 1. Selain taruhan kuasa yang lebih padu, ia juga dikombinasikan dengan penjimatan bahan api yang lebih maksimum.

Selain itu, kedua-dua varian turut diberikan ciri kelengkapan bagi pengendalian yang sama termasuklah suspensi Agility Control dengan selective damping system dan Dynamic Select.

Dibangunkan menggunakan platform MRA generasi kedua ciptaan Mercedes-Benz sendiri, barisan C-Class 2022 ini memiliki dimensi berukuran 4,751 mm panjang, 1,820 mm lebar dan 1,438 mm tinggi, iaitu ia lebih panjang sebanyak 65 mm, 10 mm lebih lebar tetapi sembilan mm lebih rendah berbanding versi W205. Manakala jarak rodanya pula berukuran 2,865 mm iaitu 25 mm lebih panjang berbanding model terdahulu.

Bagi imej luaran pula, ada sedikit perbezaan di antara kedua-dua varian ini, walau bagaimana pun ia masih mengetengahkan elemen rekaan yang sporty, hasil kombinasi overhang hadapan yang lebih pendek, jarak roda dan overhang belakang yang lebih panjang. Bagi C 200 Avantgarde Line, ia diberikan gril lourve menegak dengen elemen hiasan tambahan, serta kemasan krom pada bahagian apron hadapan. Manakala C 300 AMG Line pula menerima gril dengan rekaan bintang tiga bucu dalam kemasan krom.

C 200 Avantgarde Line turut ditampilkan dengan roda aloi-ringan lima-jejari 18-inci dengan run-flat tyre. Untuk C 300 AMG Line pula, ia diberikan roda aloi-ringan pelbagai-jejari AMG 19-inci serta kit baik pulih tayar TIREFIT, bumbung suria gelangsar panoramik dan sistem brek dengan cakera brek yang lebih besar pada gandar hadapan.

Untuk bahagian belakang pula, rekaan tipikal masih diberikan buat kedua-dua sedan ini. Walau bagaimana pun, buat pertama kalinya, ia menggunakan lampu dengan dua-kepingan rekaan, di mana fungsi pencahayaan telah dibahagikan di antara lampu side wall dan boot lid. Inilah antara ciri signitur yang ditampilkan buat C-Class yang turut dikenali sebagai ‘Baby Benz’, model paling laris bagi produk keluaran Mercedes-Benz.

Manakala ciri kelengkapan luaran lain sama termasuklah lampu utama LED High Performance, bantuan lampu tinggi adaptif, cermin sisi boleh dilipat secara elektronik, underbody protection dan bilah pengelap cermin dengan penderia hujan.

Mercedes-Benz C-Class W206 2022 kini di M’sia – C200 Avantgarde Line, RM288k; C300 AMG Line, RM330k

Menjengah bahagian kabinnya, elemen serba mewah dan sofistikated menjalari segenap ruang. Papan pemukanya dibahagikan kepada seksyen atas dan bawah, dengan seksyen ala-sayap bersama corong bulat umpama nacelles enjin pesawat dengan hamparan serba mewah yang melunjur dari konsol tengah. Ia juga ditampilkan dengan paparan tengah bagi memaparkan fungsi kenderaan yang boleh dikawal menerusi skrin sesentuh berkualiti tinggi.

Ia turut menampilkan pengimbas cap jari yang ditempatkan di bawah paparan tengah, di mana ia boleh mengenalpasti identiti anda dengan lebih pantas. Ini kerana data peribadi anda dilindungi. Apabila anda menyentuh pengimbas terbabit, sistem akan membenarkan akses pengguna.

Kedua-dua varian ini juga berkongsi ciri kelengkapan yang sama termasuk Keyless Go, kawalan suhu automatik Thermatic, balutan kulit hitam Artico untuk tempat duduk, juga balutan kulit Nappa dengan rona hitam untuk papan pemuka dan beltline, tempat duduk hadapan dengan sokongan lumbar, sistem pengecas tanpa wayar, konsol tengah dengan gaya criss-cross dalam rona kelabu perak, pencahayaan ambien dengan pantulan logo jenama, panel ambang pintu dengan perkataan Mercedes-Benz, tirai suria manual untuk tingkap sisi dan tirai suria elektronik untuk cermin belakang.

Untuk C 200 Avantgarde Line, ia diberikan roda stereng pelbagai-fungsi balutan kulit dengan kemasan paten berlian kelabu perak, sementara C 300 AMG Line pula lebih elegan dengan roda stereng sport pelbagai-fungsi balutan kulit Nappa. Selain itu, ia turut diberikan konsol tengah dengan optik dan elemen metal, alas lantai AMG, sistem pemantauan dalaman, bantuan suara “Hey Mercedes” dan boot lid remote closing.

Bagi sistem multimedia, kedua-dua varian menerima paparan skrin sentuh menegak 11.9-inci, serta panel instrumen 12.3-inci terapung dan juga sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX). Selain itu, ia juga diberikan Advanced Connecting Plus, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Bagi aspek keselamatan, kedua-duanya turut dilengkapi Active Blind Spot, Active Lane Keeping Assist, Active Brake Assist, cruise control, Urban Guide Vehicle Protection, Active Parking Assist dengan Parktronic, Mercedes-Benz Emergency Call System, pelindungan pejalan kaki dan sistem pemantauan tekanan tayar. C 200 Avantgarde hanya diberikan kamera undur biasa, sebaliknya C 300 AMG Line menerima kamera 360 darjah.

Dalam majlis pelancarannya pagi ini, Mercedes-Benz Malaysia turut mengesahkan model pemasangan tempatan (CKD) bagi barisan C-Class baharu ini akan dikeluarkan pada separuh kedua tahun ini. Ia akan diproduksi di kilang pemasangannya di Pekan, Pahang.

GALERI: Mercedes-Benz C 200 Avantgarde Line 2022


GALERI: Mercedes-Benz C 300 AMG Line 2022


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required