Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Toyota telah mengumumkan bahawa mereka telah menghentikan kesemua operasi barisan produksi mereka di 14 kilang seluruh Jepun bermula semalam kerana “kegagalan sistem pada pembekal domestik”.
Menurut laporan Nikkei Asia, Hino telah menghentikan sementara operasi kilang Koga dan Hamura mereka, manakala produksi Daihatsu pula berhenti di fasiliti mereka di Kyoto. Laporan tersebut turut menyebut bahawa pembekal yang dimaksudkan tersebut iaitu Kojima Industries (membekalkan komponen plastik kepada Toyota) menjangkakan pengeluaran mereka akan dikurangkan sehingga “berberapa ratus buah kenderaan.”
“Memang benar kami telah menerima serangan siber. Kami masih sedang mengenalpasti kerosakan dan kami bergegas untuk menyelesaikannya, dengan keutamaan untuk meneruskan semula sistem produksi Toyota secepat yang mungkin,” kata sumber yang rapat dengan Kojima Industries kepada Nikkei Asia.
Akhbar tersebut turut menyatakan bahawa kelmarin syarikat berkenaan masih menyiasat asal usul serangan siber tersebut, apa perisian hasad sebenar yang digunakan dan kerosakan yang dibawa.
Kebanyakkan dari sekitar 400 pembekal Tingkat 1 Toyota adalah berkait terus dengan sistem kawalan produksi segera jenama tersebut, menjelaskan mengapa serangan siber terhadap Kojima Industries telah menjejaskan Toyota, tulis Nikkei Asia.
Tambah laporan itu lagi, Toyota telah menghentikan produksinya bagi mengelakkan kerosakan jangka masa panjang, dan mengutamakan pemeriksaan serta pemulihan sistem tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.