Sejak Rusia menyerang Ukraine beberapa minggu lalu, harga minyak mentah dunia kian melonjak. Antara isu yang mempengaruhi harga tersebut ialah masalah bekalan, potensi gangguan perdagangan dan isu perkapalan memandangkan banyak negara mengenakan sekatan terhadap Rusia.

Petang semalam, Reuters melaporkan niaga hadapan minyak mentah Brent melonjak sebanyak 3.62% kepada AS$117 setong, manakala West Texas Intermediate meningkat 3.44% kepada AS$114.40 setong. Sebelum ini, niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat setinggi AS$118.22 setong, sekaligus rekod yang tertinggi sejak Februari 2013.

Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (EIA) seperti yang dilaporkan oleh CNBC, Rusia ialah pengeluar minyak ketiga dunia dan pengeksport minyak terbesar ke pasaran global. Walau bagaimana pun, banyak negara mengambil keputusan untuk mengenakan sekatan ekonomi terhadap Rusia termasuk sektor eksport minyak dan gas.