Petang ini kebanyakan kawasan di Lembah Klang sekali lagi dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan lebih dua jam. Bencana alam ini turut menjejaskan beberapa laluan di sekitarnya termasuk di ibu kota Kuala Lumpur.
Antara lokasi yang terjejas sehingga menenggelamkan banyak kenderaan termasuklah di Jalan Cheras, Jalan Loke Yew, Jalan Tun Razak, Jalan Raja Chulan, Jalan Ampang, Jalan Tun Perak, Jalan Pudu dan Jalan Sultan Ismail.
Manakala di daerah Klang pula, antara yang terjejas ialah Jalan Meru berhampiran Klang Sentral turut ditenggelami banjir dan menyebabkan kesesakan trafik yang teruk di kawasan berkenaan.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi kenyataan di Facebook, memaklumkan beberapa laluan termasuk Besraya Expressway membabitkan laluan dari pusat bandar ke Salak Selatan, dari Kuchai ke Salak Jaya dan Kampung Malaysia ke Kuchai ditenggelami banjir.
Selain itu, banjir kilat turut melanda Lebuhraya Kesas dan menyebabkan empat lorong terhalang di Plaza Tol Awan Besar arah Barat serta hanya satu lorong boleh dilalui di KM48.3 arah Timur menuju ke persimpangan Sukom.
Malahan terdapat penutupan sementara di Terowong SMART yang membabitkan laluan masuk terowong dari Taman Desa dan Cheras menghala ke pusat bandar serta susur keluar terowong dari pusat bandar menghala ke Cheras.
Untuk pemandu kenderaan dan penunggang motosikal di kawasan yang dilanda banjir, anda dinasihatkan agar jangan sesekali meredah banjir, ia bukan sahaja boleh merosakkan kenderaan anda, malah mungkin membahayakan keselamatan sendiri.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.