Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengesahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mengkaji sistem meletak kenderaan lebih sistematik bagi memudahkan pengguna serta meningkatkan kemudahan itu di ibu kota.

Ia berikutan DBKL yang menyedari tenaga penguat kuasa tidak mencukupi untuk meronda setiap kawasan tempat letak kereta apabila pengguna meletakkan kenderaan lebih masa, laporan Bernama.

Jalaluddin berkata, terdapat 60,000 petak letak kenderaan di ibu kota dan semua petak itu memerlukan sistem teknologi dipusatkan bagi memastikan tiada ketirisan pada hasil DBKL.

“Seterusnya, sistem bakal diperkenalkan ini akan mengelakkan masalah kekurangan tempat letak kereta susulan pengguna menyalah guna dengan meletak kenderaan sudah tidak digunapakai. Selain itu, sistem pembayaran bagi tempat letak kereta berpusat perlu digunakan bagi menyelaraskan semua sistem tempat letak kereta di Kuala Lumpur.

“Sehubungan itu, sistem tempat letak kereta pada masa ini perlu dilihat semula bagi memastikan pengguna lebih berhati-hati dalam meletakkan kenderaan, sekali gus mengatasi masalah kekurangan tempat letak kenderaan,” katanya.

Tambah beliau lagi, sistem yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi itu akan menyaksikan sistem tempat letak kereta lebih terurus dan mengatasi masalah ketirisan hasil DBKL.