Pameran Premium Auto Car Expo (PACE) akan bermula esok, bertempat di Pusat Persidangan Setia City (SCCC) dan berlangsung selama dua hari dari 19-20 Mac 2022. Akan terlibat dalam pameran ini adalah barisan kenderaan elektrik terbaru, dan Hyundai tidak ketinggalan untuk membawakan peralihan itu ke PACE.
Baru saja dilancarkan di sini, Hyundai Ioniq 5 merupakan satu daripada kenderaan elektrik sepenuhnya keluaran jenama itu yang akan dipertontonkan di PACE nanti. Ditawarkan dalam tiga varian, Lite, Plus dan Max, Ioniq 5 boleh dipilih daripada dua kapasiti bateri; 58 kWh lithium-ion polymer bagi Lite dan Plus, sementara Max menerima bateri 72.6 kWh dengan sistem penjana dwi-motor AWD.
Dijual pada harga RM199,888 untuk Lite, RM229,888 untuk PLUS dan RM259,888 untuk Max, pembeli akan menikmati harga ini yang sudah termasuk harga atas jalan tanpa insuran dan dikecualikan sepenuhnya daripada duti import dan eksais ketika ini.
Bagi Ioniq 5, jaminan dua tahun atau 50,000 km dan jaminan lapan tahun atau 160,000 km untuk bateri adalah standard. Dengan tambahan RM10k lagi, jaminan akan jadi lima-tahun atau 100,000 km serta pakej servis tiga-tahun atau 50,000 km dengan jaminan bateri yang sama.
Hyundai Malaysia menawarkan dua pilihan untuk pengecasan. Satu pengecas 7 kW AC pada harga RM6k, dan yang kedua 22k W AC pada harga RM7k. Semua harga ini termasuk pemasangan, walaupun caj tambahan mungkin dikenakan sekiranya memerlukan penkabelan lanjutan. Jika semua pilihan tambahan dan yang paling mahal ini diambil kira, varian Max akan menjadi RM276,888.
Tentang spesifikasi. Varian 58 kWh RWD mempunyai motor belakang dengan janaan 170 PS/350 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat, sementara versi dwi-motor AWD pula dengan 305 PS/605 Nm (225 kW) dan 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat. Jarak WLTP dengan satu cas penuh ialah 384 km bagi versi 58 kWh dan 430 km bagi versi 72.6 kWh AWD. Laju maksimum adalah 185 km/j untuk kedua-duanya.
Dibina menggunakan Electric-Global Modular Platform (E-GMP) untuk EV, Ioniq 5 menyokong prasarana pengecasan 400V dan 800V tanpa perlu adapter atau komponen tambahan. Kereta ini juga boleh bertindak sebagai power bank, dengan soket vehicle-to-load (V2L) di bawah kerusi belakang yang membekalkan kuasa 3.6 kW untuk peralatan seperti basikal elektrik, skuter, kelengkapan perkhemahan dll.
Jika inginkan model dengan penawaran lebih rendah, Hyundai Kona Electric juga ada, dijual pada harga RM150k hingga RM200k, juga dalam tiga varian e-Lite (RM149,888), e-Plus (RM169,888) dan e-Max (RM199,888). Dua varian yang pertama menggunakan bateri 39.2 kWh dengan motor 136 PS/395 Nm, sementara e-Max pula dengan bateri 64 kWh dengan janaan 204 PS. Bateri 39.2 kWh memberikan 305 km jarak, sementara 64 kWh dengan 484 km (WLTP).
Sama seperti Ioniq 5, Kona Electric boleh dibeli dengan lanjutan jaminan dan pakej servis (jaminan lima-tahun/100,000 km, servis percuma tiga-tahun/50,000 km) selain jaminan standard dua-tahun/50,000 km, serta dua pilihan stesen pengecas.
Membeli kenderaan di PACE akan memberikan anda bonus dan penjimatan. Semua kenderaan yang ditempah akan menerima baucar bernilai RM2,500 daripada rakan niaga kami. Ini termasuk baucar RM500 untuk filem pelindung cat kenderaan (Kuziq Glanz), baucar RM500 bagi filem penapis haba (V-Kool), baucar RM500 bagi penapis udara (Blueair), baucar RM500 untuk kerusi kanak-kanak (Recaro Kids) dan baucar RM500 untuk produk gaya hidup Ogawa.
Jenama yang ikut serta juga membawakan barisan kenderaan terpakai yang berkualiti, dan pembeli akan menerima baucar bernilai RM1,000 daripada PACE, mengandungi dua baucar rawak RM500 daripada Kuzig Glanz, V-Kool, Blueair atau Recaro Kids.
Selain tawaran daripada jenama terlibat dan baucar tersebut, pembeli di PACE 2022 juga layak untuk memenangi 10 unit telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu. Lebih menarik, ada hadiah utama berupa pakej percutian bernilai RM25,000 untuk seorang pelanggan bertuah dan pasangan. Perinciannya ada di sini.
Pengecualian SST, tawaran hebat daripada jenama, baucar percuma daripada PACE, cabutan bertuah — semua ini menjadikan acara berkenaan masa dan tempat terbaik untuk membeli kenderaan. Jumpa di sana nanti!
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.