Pengusaha stesen minyak yang jual petrol RON95 kepada kenderaan asing bakal dikenakan tindakan

Pengusaha stesen minyak yang jual petrol RON95 kepada kenderaan asing bakal dikenakan tindakan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesahkan sedang menyiasat penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing yang dilaporkan berlaku di Johor.

Menurut menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi, pihaknya sentiasa mengeluarkan arahan dari semasa ke semasa kepada pengusaha stesen minyak yang bersempadan dengan Singapura dan Thailand bagi memastikan pematuhan larangan penjualan petrol RON 95 kepada kenderaan asing. Ia adalah bagi mengelak berlaku ketirisan penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing, laporan Bernama.

“Saya juga mengarahkan semua KPDNHEP negeri bersempadan dengan Singapura dan Thailand supaya mempergiatkan pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961(Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Akta itu memperuntukkan penalti tidak melebihi RM1 juta atau individu didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi perbadanan/syarikat, didenda tidak melebihi RM2 juta,” katanya susulan kebimbangan orang ramai berhubung isu itu selepas viral di media sosial memaparkan gambar kenderaan dengan nombor pendaftaran Singapura mengisi petrol bersubsidi di sebuah stesen minyak dipercayai di sempadan negara.

Tambah beliau, orang ramai digalakkan membuat aduan dan melaporkan kepada KPDNHEP jika terdapat aktiviti penyelewengan penjualan minyak bersubsidi kepada pihak tidak sepatutnya.

Pengusaha stesen minyak yang jual petrol RON95 kepada kenderaan asing bakal dikenakan tindakan

Sebenarnya ini bukanlah perkara baharu, malah telah acapkali berlaku sebelum ini. Umum mengetahui bahawa kenderaan dengan pendaftaran plat asing adalah tidak dibenarkan untuk membeli petrol RON 95 di Malaysia. Peraturan ini telah termaktub sejak 1 Ogos 2010. Ini kerana subsidi yang dibiayai cukai yang lebih tinggi hanya disediakan untuk pengguna RON 95, iaitu untuk pengguna kenderaan berpendaftaran Malaysia sahaja. Manakala untuk kenderaan asing, hanya dibenarkan untuk membeli petrol RON 97 atau RON 100 sahaja.

Buat masa ini, RON 95 berharga RN2.05 seliter di Malaysia, jauh lebih murah berbanding harga bagi RON 97 yang mencecah RM3.91 seliter. Sebagai perbandingan, RON 95 di Singapura berharga sekitar SG$3 (RM9.31) seliter dan RON 98 pula SG$3.47 (RM10.77) seliter.

Bukan itu sahaja, selain pematuhan RON 95 tidak dibenarkan dijual untuk kenderaan asing, kenderaan dari Singapura juga seharusnya mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh negara berkenaan iaitu Pematuhan Tangki Tiga-Suku, di mana di bawah Akta Kastam 1960 di Singapura, menetapkan bahawa kenderaan yang meninggalkan negara berkenaan perlulah mempunyai bahan api minimum tiga suku daripada tangki penuh.

Pematuhan berkenaan juga menetapkan denda sejumlah SG$500 jika gagal berbuat demikian. Namun tidak dipastikan, adakah peraturan berkenaan benar-benar dilaksanakan secara serius mahu pun tidak. Begitu juga dengan pematuhan yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia bahawa semua stesen minyak di negara ini terutamanya yang terletak bersempadan dengan negara jiran dilarang untuk menjual petrol bersubsidi kepada kenderaan asing.

Walau bagaimana pun, pematuhan ini bagai ‘dipandang sepi’ oleh segelintir stesen minyak terbabit. Oleh itu, seharusnya pihak berwajib perlulah lebih serius untuk menangani isu dan dan mengambil tindakan yang lebih drastik agar ia dapat dibendung, bukannya berlarutan bertahun lamanya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required