Touch ‘n Go bakal mengorak satu lagi langkah ke hadapan dengan menawarkan penggunanya kemudahan untuk tambah nilai kad fizikal mereka menerusi Touch ‘n Go eWallet tidak lama lagi.

Menerusi imej yang dipaparkan dalam video rasmi Touch ‘n Go (tetapi video berkenaan telah ‘dikeluarkan’ dari paparan rasminya), fungsi baharu NFC (near field communication) akan boleh digunakan apabila kad baharu ini dilancarkan kelak. Di mana kad baharu ini boleh dikenalpasti oleh ikon NFC pada hujung kanan kad berkenaan. Ini bermakna pengguna perlu membeli kad Enhanced Touch ‘n Go itu untuk menggunakan fungsi tersebut.

Kad baharu yang mempunyai nilai sedia ada sebanyak RM10 ini, juga sama dengan pembelian tag RFID dan mengikut imej tangkapan skrin bahagian pesanan, harga Enhanced Touch ‘n Go tidak termasuk bayaran penghantaran.

Apabila menerima kad fizikal Enhanced Touch ‘n Go itu, pengguna perlu melakukan pautan kad tersebut ke eWallet, membolehkan pengguna menyemak baki nilai di dalam kad, seperti mana kad sebelum ini, serta melakukan proses tambah nilai. Untuk melakukannya, kad baharu ini perlulah diletakkan di belakang telefon pintar yang mempunyai fungsi NFC selama lima saat. Video yang telah ‘disorokkan’ itu turut menunjukkan fungsi ini boleh digunakan bagi peranti iOs dan Android.

Walau bagaimana pun, difahamkan baki kad baharu ini masih diasingkan dari baki eWallet. Apabila kad Enhanced Touch ‘n Go dilancarkan kelak, ia membolehkan pengguna untuk menambah nilai kad fizikal mereka tanpa perlu ke kios atau kaunter perkhidmatan. Ini akan menjadi kemudahan tambahan kerana kad Touch ‘n Go fizikal masih digunakan untuk bayaran tempat letak kereta dan pengangkutan awam, selain PayDirect boleh digunakan untuk caj tol lebuh raya.

Pada Januari lalu, bekas CEO TNG Digital, Ignatius Ong (yang telah meletakkan jawatan bermula 31 Mac lalu, menurut Advertising + Marketing Malaysia) telah mendedahkan bakal ada kad versi baharu yang membolehkan pengguna menambah nilai baki menerusi aplikasi eWallet dengan fungsi NFC ini, berbanding kad sedia ada yang hanya boleh ditambah nilai di kios atau kaunter perkhidmatan yang terbabit.

Idea ini pertama kali disuarakan oleh Touch ‘n Go pada Januari 2021, dan kad yang dipertingkatkan dengan kebolehupaya tambah nilai eWallet ini sebenarnya dirancang diperkenalkan pada hujung tahun lalu.

Buat masa ini, pautan antara kad fizikal, kad Touch ‘n Go dan aplikasi eWallet adalah bagi fungsi PayDirect, di mana transaksi pembayaran tol akan ditolak terus dari baki eWallet berbanding baki yang masih ada dalam kad Touch ‘n Go. Apabila baki eWallet telah habis, barulah caj tol akan ditolak daripada kad fizikal, yang boleh dihalang dengan mengaktifkan ciri muat semula automatik pada eWallet.