Kes kematian lapan remaja yang sedang menunggang basikal lajak, akibat kecuaian pemandu kereta ini harap boleh dijadikan pengajaran buat kita semua supaya sentiasa peka dan berhati-hati ketika memandu. Hari ini, Mahkamah Tinggi di Johor Bahru memerintahkan seorang kerani wanita dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000, atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berkenaan, lima tahun lalu, laporan Berita Harian.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar dalam keputusannya terhadap rayuan kes itu turut memerintahkan responden, Sam Ke Ting, 27, menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda, selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun berkuat kuasa selepas selesai menjalani hukuman penjara. Sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober lalu yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan responden daripada pertuduhan berkenaan.

Abu Bakar dalam penghakimannya berkata, responden diputuskan bersalah serta disabitkan atas pertuduhan yang dikenakan selepas melalui perbicaraan penuh dan bukannya kes pengakuan bersalah.

“Perbuatan responden memandu secara melulu atau berbahaya telah menyebabkan kehilangan lapan nyawa. Kesalahan dilakukan responden adalah kesalahan berat. Parlimen telah meminda hukuman bagi kesalahan ini pada 2020 menerusi Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020. Oleh itu, responden bernasib baik kerana kesalahan disabitkan berlaku pada 2017, iaitu sebelum pindaan dibuat,” katanya.

Selain itu, Abu Bakar berkata, mahkamah turut membuat pertimbangan bahawa kesalahan dilakukan responden adalah kes yang tinggi di Johor, dengan statistik menunjukkan kes kemalangan maut antara 2011 hingga 2021 membabitkan sejumlah 10,297 kematian.

“Berdasarkan itu, mahkamah ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun mulai tarikh sabitan, hari ini, dan denda RM6,000. Jika gagal membayar denda, tambahan enam bulan penjaran. Responden juga hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tiga tahun sebaik saja selesai menjalani hukuman penjara,” katanya.