Avatr 11 MMW – SUV yang dipacu oleh motor elektrik Huawei 578 PS, rekaan bersama pengasas Givenchy

Avatr 11 MMW – SUV yang dipacu oleh motor elektrik Huawei 578 PS, rekaan bersama pengasas Givenchy

Ini adalah Avatr 011, iaitu satu edisi keluaran istimewa bagi SUV elektrik tersebut, yang direka bersama oleh pengasas jenama 1017 ALYX 9SM dan pengarah kreatif jenama mewah Givenchy, Matthew M. Williams (MMW).

Terhad hanya 500 unit untuk seluruh dunia, Avatr 011 MMW ini mendapat sentuhan unik yang menggambarkan jenama MMW. Warna hitam diambil sebagai tema utama, dan digunakan pada hampir semua bahagian termasuk rim 22 incinya.

Warna perak pula digunakan bagi memberi sedikit kontras, pada bahagian seperti angkup brek, serta kemasan di dalam termasuk pada konsol tengah, panel pintu serta tempat duduk yang dibalut dengan kombinasi kulit Nappa serta Nuprima.

Melengkapkan penampilannya adalah tulisan “AVATRMMW” pada banyak bahagian, termasuk penyandar kepala, angkup brek, tepi pintu dan but, kancing di belakang tempat duduk, pada ruang simpanan barang, bawah konsol tengah serta dalam but.

Avatr 11 MMW – SUV yang dipacu oleh motor elektrik Huawei 578 PS, rekaan bersama pengasas Givenchy

Gambar yagn disiarkan ini juga menunjukkan kepada kita bahagian dalam 011, yang sebelum ini, semasa pelancarannya November lalu tidak ditunjuk. Ia memang nampak moden, dengan sekurang-kurangnya terdapat tiga skrin, termasuk untuk panel instrumen digital, serta unit sesentuh di hadapan penumpang dan di tengah.

Skrin paling besar yang terletak di tengah digunakan untuk semua fungsi kenderaan, dan disebabkan itu, konsol tengahnya tidak mempunyai sebarang butang kawalan dan hanya terdapat tempat meletak cawan dan pengecas telefon tanpa wayar. Pada bahagian lain, kita boleh melihat rekaan papan pemuka melengkung, serta roda stereng yang mempunyai bentuk rata di atas.

Selain bahagian dalam, bahagian luar juga nampak sama futuristik dengan terdapat jalur DRL LED nipis serta lampu utama yang terletak lebih rendah di bawah. Tiada gril seperti kereta biasa pada SUV ini dan ia hanya menggunakan bukaan pada bahagian bawah bampar.

Avatr 11 MMW – SUV yang dipacu oleh motor elektrik Huawei 578 PS, rekaan bersama pengasas Givenchy

Melihat dari tepi, pembuka pintu 011 dijadikan sama rata dengan permukaan (jenis tersembunyi) serta kemasan pada fender yang sebenarnya diletakkan dengan kamera. SUV ini mempunyai garis bumbung seperti coupe yang menjunam di belakang, dan ia membawa kepada cermin belakang yang condong serta jalur lampu yang bersambung dari kiri ke kanan kenderaan.

Untuk saiz, 011 adalah kecil sedikit berbanding Porsche Cayenne, dengan catatan panjang 4,880 mm (-39 mm), lebar 1,970 mm (-13 mm) dan tinggi 1,601 mm (-35 mm), sementara jarak roda pula ia lebih panjang iaitu 2,975 mm (+80 mm).

Avatr sebenarnya adalah satu jenama yang dulunya dikenali sebagai Changan Nio, dan merupakan satu kerjasama antara Changan Automobil dari China dengan Nio. Selepas Nio keluar daripada kerjasama itu pada tahun 2018, Avatr Technology diwujudkan bersama dengan penglibatan Huawei serta pengeluar bateri, CATL.

Model 011 ini adalah model pertama daripada Avatr dan dilengkapi dengan dua motor elektrik daripada Huawei yang menyediakan kuasa keseluruhan 578 PS (570 hp atau 425 kW). Syarikat teknologi itu kini aktif dalam bidang automotif, dengan turut terlibat dalam pembangunan satu lagi kereta iaitu Seres EF5. Huawei juga mempunyai jenama kereta mereka sendiri, iaitu AITO, yang bermaksud “Adding Intelligence to Auto,” dan menyediakan M5 (SF5 versi PHEV) sebagai produk pertama mereka.

Pek bateri CTP ternary lithium pada 011 datang daripada CATL, dan ia mempunyai kapasiti 90.38 kWh dan boleh menyediakan jarak gerak sehingga 700 km. Daripada aspek prestasi, ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa tiga saat dan mencapai kelajuan maksimum sehingga 200 km/j. Ia juga datang dengan sistem pengecasan pantas 750 volt yang boleh menerima kuasa 240 kW dan mengisi semula bateri dari 30-80% dalam masa cuma 15 minit.

Sebagai tambahan, 011 juga datang dengan Huawei Inside (HI), iaitu sistem penuh kenderaan pintar, yang menggabungkan platform komputer 400 TOPS (operasi tera per saat) bersama tiga sensor lidar, enam radar gelombang milimeter, 12 radar ultrasonik dan 13 kamera. Ia dijangka dijual di China bermula suku kedua tahun ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required