Huawei Seres SF5 diperkenalkan di Auto Shanghai — EV range extender dengan jarak hingga 1,000 km!

Huawei Seres SF5 diperkenalkan di Auto Shanghai — EV <em>range extender</em> dengan jarak hingga 1,000 km!

Nama Huawei biasanya lebih sinonim sebagai pengeluar telefon pintar dan juga peranti elektronik lain. Bagaimanapun, jenama tersebut juga sudahpun memperkenalkan kenderaan pertama rekaannya di Auto Shanghai 2021, yang digelar dengan nama Seres Huawei Smart Selection SF5. Dibangun dengan kerjasama syarikat dari California, Seres, crossover berkenaan kini boleh ditempah melalui platform e-dagang Vmall Huawei dengan bayaran 1,000 yuan (RM633).

Bermula 21 April, pelanggan boleh memandu uji model SF5 ini di Huawei Experience Stores di China. Dari laman web syarikat, SF5 ditawarkan dalam dua varian, dengan versi paling murah dengan pilihan motor tunggal yang dijual pada harga 216,800 yuan (RM137,287) serta varian dengan dua motor pada harga 246,800 yuan (RM156,334).

Dari segi rekaan, Huawei SF5 tampil dengan rekabantuk yang hampir sama dengan model SF5 yang dipersembahkan oleh Seres pada 2019 — perbezaan kecil misalnya hanya melibatkan bukaan udara pada bampar depan. Kereta ini masih kekal dengan rekaan lampu utama unik, DRL bentuk L, pemegang pintu tersorok, garis tingkap berbentuk sayap, bumbung tirus serta lampu belakang kelebaran penuh.

Huawei Seres SF5 diperkenalkan di Auto Shanghai — EV <em>range extender</em> dengan jarak hingga 1,000 km!

Begitu juga dengan ukuran dimensinya; SF5 mempunyai 4,700 mm panjang, 1,930 mm lebar dan 1,625 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,875 mm.

Di dalam, rekaan papan pemuka minimalistik diterapkan, menampilkan corong udara lebar dengan sebuah skrin sentuh menegak yang menjadi antaramuka kepada semua fungsi pada kenderaan ini, serta satu kluster instrumen. Konsol tengah juga tampil ringkas, dengan menempat hanya ruang untuk cawan, sementara tuil gear diletak berdekatan perehat lengan.

Walaupun reka bentuk kekal sama, Huawei turut memainkan peranan dalam membangunkan teknologi yang dimuatkan dalam kereta ini, termasuklah sistem janaan kuasanya. Model ini menggunakan enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder yang bertindak sebagai “range extender” untuk mengecas bateri.

Huawei Seres SF5 diperkenalkan di Auto Shanghai — EV <em>range extender</em> dengan jarak hingga 1,000 km!

Bateri berkenaan membekalkan kuasa kepada motor elektrik asynchronous SEP200 di depan, sementara di belakang pula menggunaan sistem pacuan elektrik all-in-0ne DriveOne oleh Huawei. Siste Huawei ini menyepadukan tujuh komponen mekanikal dan kuasa ke dalam satu unit, termasuk unit kawalan mikro, motor, reducer, pengubah DC, pengecas dalaman, unit pengagihan kuasa dan unit kawalan bateri.

Konfigurasi dengan dua motor dan pacuan semua roda ini menyediakan output keseluruhan sebanyak 551 PS (543 hp atau 405 kW) dan 820 Nm tork, yang membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat.

Huawei bagaimanapun tidak menyediakan perincian penuh berkaitan bateri pada SF5. Bateri ini didakwa mampu menyediakan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 180 km bagi kitaran NEDC, dan sehingga 1,000 km jika mengambil kira enjin sebagai “range extender”. Perincian tentang tempoh mengecas dan bagai mana konfigurasi motor tunggal masih belum dikongsi setakat ini.

Skrin sentuh besar di dalam disambung kepada sistem HiCar Huawei, sebuah eko-sistem sambungan yang sama seperti ditawarkan oleh Apple dan Google. Pengguna boleh menyambung telefon mereka ke kereta dan selaraskan keduanya dengan mudah, dan boleh juga mengawal peranti pintar terus dari skrin sentuh berkenaan.

SF5 juga menampilkan sistem Huawei Sound, dengan 11-pembesar suara dalam kabin untuk memberikan kualiti audio terbaik. Pembesar suara berkenaan turut berfungsi untuk membatalkan kebisingan lain yang tidak diingin dari luar, disertakan juga dengan kaca kedap bunyi dua-lapisan serta ciri kedapan lain untuk menjadikan tahap NVH rendah — dalam kedudukan pegun, ia mencatatkan 38 dB.

Aspek keselamatan, SF5 dilengkapi dengan radar gelombang milimeter berketepatan tinggi, radar ultrasonic, kamera keliling dan sensor lain untuk membolehkan operasi autonomous Tahap 2. Ia datang standard dengan bantuan kesesakan trafik, kawalan melayar adaptif, amaran pelanggaran depan, brek kecemasan autonomous dan lain-lain.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required