Jangan terlalu bergantung pada EV; enjin pembakaran dalaman masih ada hayatnya – CEO BMW

Banyak pengeluar kereta masa ini bersemangat untuk mengeluarkan kenderaan elektrik (EV), tetapi CEO BMW Oliver Zipse berpendapat agar jangan terlalu bergantung pada EV untuk sesetengah pasaran. Beliau memaklumkan kepada Reuters, masih ada pasaran untuk kereta dengan enjin pembakaran dalaman.

“Apabila anda melihat teknologi yang keluar, dengan lonjakan pengenalan EV, namun kita mesti berhati-hati kerana pada masa yang sama, ia meningkatkan pergantungan untuk sebahagian kecil pasaran,” kata Zipse. Beliau juga menegaskan bahawa sebahagian besar bekalan bahan mentah untuk bateri dikawal oleh China.

“Jika seseorang tidak boleh membeli EV atas sebab tertentu, tetapi memang memerlukan kereta, adakah anda akan sarankan agar dia terus memandu kereta lamanya selama-lamanya? Jika anda tidak lagi menjual enjin pembakaran dalaman, pihak lain akan melakukannya,” tambahnya lagi.

Zipse adalah penyokong untuk kenderaan clean energy tetapi juga telah lama menyokong larangan terhadap penjualan kereta pembakaran dalaman. Pengawal selia dalam industri ini telah banyak kali memberikan tekanan terhadap pemain industri automotif untuk membendung pelepasan karbon dan impak terhadap alam sekitar, serta mendorong penciptaan pelbagai pelan hala tuju elektrifikasi.

Boss besar BMW ini juga berkata, menawarkan kereta dengan enjin pembakaran dalaman yang lebih memberikan penjimatan bahan api adalah kunci utama, iaitu dari perspektif keuntungan dan alam sekitar. Beliau berkata begini dengan merujuk kepada jurang yang jelas dalam infrastruktur pengecasan di beberapa buah pasaran, serta harga EV yang tinggi. Pendapat ini juga senada dengan apa yang Ketua Pegawai Teknikal Mercedes-Benz Markus Schäfer yang turut menyuarakan sentimen yang lebih kurang sama berhubung dengan kos bagi kenderaan enjin pembakaran dalaman yang jauh lebih mampu milik berbanding EV.

Selain itu, syarikat juga perlu merancang pelarasan kos yang diperlukan dan bersedia untuk menggunakan tenaga dan harga bahan mentah yang tinggi. Walau bagaimana pun, perkara ini boleh dilakukan dengan memperkemaskan lagi strategi pengeluaran dan menjadikannya lebih cekap, serta meningkatkan usaha dalam kitar semula bagi mengurangkan kos.

Baru-baru ini, BMW secara komited telah mengadaptasikan penggunaan roda aluminium yang dihasilkan secara mampan bermula tahun 2024, satu langkah yang mampu mengurangkan pelepasan CO2 sebanyak 500,000 tan setiap tahun. “Berapa banyak tenaga yang anda perlukan dan gunakan, dan lebih penting, atas sebab persekitaran dan juga paling utama, disebabkan ekonomi,” tambahnya.