City Energy, pembekal utama gas berpaip ke kawasan bandar Singapura, telah melancarkan Go by City Energy (Go), perkhidmatan mengecas kenderaan elektrik (EV) di seluruh Singapura dan Malaysia dengan hanya menggunakan satu perisian sahaja.
Sebelum ini dikenali sebagai City Gas, City Energy akan membiayai, mengendali dan menyelenggara rangkaian stesen mengecas EV yang disokong oleh perisian mobil “Go”. Usaha ini diperkukuhkan lagi dengan kerjasama strategik bersama EV Connection Sdn. Bhd (EV Connection) untuk memperkembangkan rangkaian pengecas EV ke Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif City Energy, Perry Ong, berkata, “Go akan menjadi perkhidmatan pertama di Singapura yang mempunyai rangkaian pengecas EV di Malaysia yang boleh menawarkan kemudahan tambahan kepada pemandu yang ingin memandu sepanjang causeway dan Lebuhraya Utara-Selatan. Kami yakin pengguna EV akan memanfaatkan peluang yang kami tawarkan ke arah kehidupan yang lebih hijau dan pintar.”
Menerusi kerjasama ini, pengguna rangkaian Go dari Singapura boleh menggunakan kemudahan pengecasan ini di Malaysia. Menurut Pengarah Urusan JomCharge dan pengasas EV Connection, Lee Yuen How, kerjasama ini menyasarkan untuk menyediakan pengecas DC di bawah rangkaian JomCharge menjelang akhir 2022.
Kadar pengecasan di bawah rangkaian Go ini adalah RM1.20 bagi setiap minit dengan menggunakan pengecas DC 50 kW, dan di antara RM2 dan RM3 bagi setiap jam untuk pengecas AC 7 kW. Sebagai pembandingan, kadar pengecasan di Singapura ialah 50 sen (RM1.59) bagi setiap kWh untuk pengecas AC 22 kW, dan 55 sen (RM1.72) setiap kWh untuk pengecas DC 50 kW, menurut The Straits Times.
Pengecas bagi rangkaian Go ini ditempatkan di sebelah barat Semenanjung Malaysia, dan boleh diakses melalui Lebuhraya Utara-Selatan. Manakala bagi lokasi di Lembah Klang, ia ditempatkan di Lotus Kepong, Sunway Nexis, Vision Motorsport, Mercedes-Benz Malaysia, dan ABB Subang Jaya.
Sementara itu, untuk bahagian utara pula, rangkaian pengecasan ini boleh didapati di Hotel Rasa Sayang di Pulau Pinang, dan untuk selatan pula, ia terletak di ibu pejabat ACO di Johor. Manakala stesen minyak yang turut menyediakan rangkaian pengecasan Go ini termasuklah Caltex, dengan unit pengecas boleh didapati di Caltex Bukit Gantang (arah utara/selatan), Ayer Keroh (arah utara/selatan), kawasan R&R Skudai (arah selatan) dan juga Petron di Kluang, Johor.
JomCharge sebelum ini turut bekerjasama dengan Mercedes-Benz Malaysia dan Petronas untuk rangkaian Energise oleh Petronas dengan penyediaan pengecas pantas Dc di negara ini. Pertama kali diumumkan pada November 2021, rangkaian Energise ini akan menyediakan lima pengecas pantas DC yang akan dipasang di kawasan strategik di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
Menurut maklumat yang didedahkan sewaktu pelancaran Mercedes-Benz EQA untuk pasaran Malaysia, hampir kesemua pengecas bagi rangkaian Energise ini memiliki kuasa hingga 180 kW, sementara satu atau dua ini pula akan mempunyai kuasa maksimum 50 kW, dan ia akan dipertingkatkan ke kuasa sepenuhnya mencecah 180 kW pada masa hadapan.
- asian woman use reusable eco-friendly ecological straw drink while using smart phone and waiting power supply connect to electric vehicles for charging the battery in car; Shutterstock ID 1881836302; purchase_order: -; job: -; client: -; other: –
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.