Bagi pengguna petrol RON 95, anda mungkin tidak merasai beban kenaikan harga bahan api yang berlaku di seluruh dunia kerana petrol tersebut diberikan subsidi oleh kerajaan Malaysia bagi membolehkan ia terus dijual pada harga RM2.05 seliter.
Walau bagaimanapun dengan kaedah pemberian subsidi sedia ada, kerajaan terpaksa menanggung beban kewangan yang besar kerana setiap kenaikan US$ 1 pada harga minyak mentah dunia akan menyebabkan negara kehilangan RM410 juta. Oleh itu, kerajaan dijangka akan merubah kaedah pemberian subsidi bahan api sedia, dan bakal memberikannya hanya pada golongan yang benar-benar memerlukan.
Perkara berkenaan ‘subsidi bersasar’ tersebut pernah disebut sebelum ini, dan ia sekali lagi diulang oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri (ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed. Menurutnya, kerajaan kini masih sedang merangka struktur subsidi bahan api yang baru dan ia dijangka bakal lengkap tak lama lagi.
Buat masa sekarang, kaedah pemberian subsidi bahan api sedia ada akan terus digunakan, namun beliau menjelaskan bahawa ia bakal berubah tak lama lagi dan hanya menunggu masa untuk dilaksanakan.
“Mereka yang berkemampuan perlu membayar lebih dan orang yang tidak layak menerima (subsidi) tidak boleh diberikan subsidi sama sekali. Subsidi adalah untuk golongan miskin, terutamanya B40 (kumpulan pendapatan 40% terbawah). Isunya ialah masa bila ia akan dilaksanakan,” kata Mustapa dalam Bernama TV semalam.
Beliau berkata, subsidi bahan api memainkan peranan penting dalam mengawal kenaikan inflasi di Malaysia, dan kerajaan mampu mengekalkan kenaikan harga antara 2% dan 3% sejak 10 hingga 20 tahun lepas. “Bagaimanapun, ia akan menjadi beban besar pada bajet. Ketika kita mengumumkan bajet kita tahun lepas, anggaran subsidi adalah kira-kira RM5 bilion. Kini anggarannya sekitar RM30 bilion, mewakili peningkatan enam kali ganda dalam jumlah subsidi,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.