UMW Toyota Motor (UMWT) Sdn Bhd telah mencatatkan jualan sebanyak 29,393 unit untuk kereta Toyota dan Lexus bagi tempoh empat bulan pertama 2022. Sekaligus menunjukkan peningkatan sebanyak 11% berbanding dengan tempoh yang sama tahun 2021.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, UMWT turut berkata, pada April 2022, sebanyak 6,868 unit kereta Toyota dan 78 unit Lexus berjaya dijual.

Presidennya, K Ravindran berkata, syarikat itu kekal komited bagi menawarkan inovasi nilai untuk wang, ditambah dengan teknologi canggih dan ciri keselamatan untuk semua kenderaannya.

“Peningkatan jualan dari tahun ke tahun adalah disebabkan oleh promosi Hari Raya ‘Bersama Lebih Makna’, yang menawarkan faedah bernilai RM4,000 kepada mereka yang memilih untuk memandu pulang Vios dan Yaris.

“Walaupun dengan pengumuman mengejut Aidilfitri sehari lebih awal daripada yang dijangkakan, semua pusat servis kami telah bersedia sepenuhnya untuk membantu pelanggan kami dalam perjalanan ‘balik kampung’ mereka,” katanya.

Malahan syarikat tersebut juga menjangkakan pertambahan jualan berikutan pelancaran produk baharu yang akan datang.

Selain itu, UMWT juga akan menganjurkan acara ‘Toyota Raya Open House Weekender’ pada 21-22 Mei di semua bilik pamerannya di seluruh negara. Di mana promosi jualan Ramadan akan dilanjutkan sehingga tarikh berkenaan, memberikan peluang kepada pelanggan untuk membeli mana-mana model baharu Toyota bersama ganjaran yang ditawarkan.