Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah mengeluarkan pendapat bahawa semua pemandu boleh menghindari berlakunya kemalangan jalan raya sekiranya mengamalkan corak pemanduan selamat.
Menurut ketua pengarahnya Datuk Dr Khairil Anwar Abu Kassim, ini bagi membolehkan pemandu kenderaan belakang mempunyai masa dan jarak tindak balas yang mencukupi tatkala berlaku kecemasan yang membabitkan kenderaan hadapan berhenti atau memperlahankan kenderaan, laporan Harian Metro.
Walau bagaimana pun, perkara ini bukanlah satu perkara yang baharu di mana elemen pemanduan dengan mengekalkan jarak selamat memang diajar dalam silibus institut memandu.
“Isu yang kedua pula adalah pematuhan had laju. Pengguna jalan raya secara umumnya perlu sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan termasuk apabila melalui kawasan pembinaan di mana had laju sementara akan dipaparkan. Had laju ini adalah lebih rendah berbanding had laju umum dengan mengambil kira risiko yang wujud di kawasan pembinaan berkenaan,” katanya.
Tambahnya lagi, pemanduan pada waktu malam dengan kadar pencahayaan yang minimum juga akan mendatangkan kesan kepada pemandu dalam mengandaikan kelajuan serta jarak kenderaan di hadapan.
“Oleh sebab itu, aspek jarak selamat dan pematuhan had laju perlu lebih dititikberatkan pada waktu sebegini. Kegagalan pemandu berbuat demikian, ditambah juga dengan faktor manusiawi yang lain seperti kelesuan serta pemanduan tidak fokus akan meningkatkan risiko kemalangan,” katanya.
Jelasnya, impak besar dihasilkan oleh perlanggaran dengan kenderaan berat akan menyebabkan kenderaan yang lebih kecil mengalami kegagalan struktur lebih serius termasuk komponen kritikal seperti tangki dan saluran minyak yang seterusnya akan membawa kepada risiko kebakaran.
“Bagi mengelakkan kejadian seumpama berulang, pemandu kenderaan keseluruhannya perlu sentiasa mengekalkan jarak yang selamat dengan kenderaan hadapan ketika memandu serta sentiasa peka dan patuh kepada had laju serta persekitaran.
“Selain itu, syarikat pengendali kenderaan perdagangan juga perlu cakna dengan aspek keselamatan dengan mengamalkan penyelenggaraan kenderaan secara berkala serta pemilihan dan pemantauan ke atas pemandu supaya tidak mendatangkan risiko serta bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.