UMW Toyota telah mengumumkan prestasi jualannya bagi bulan April 2022 melibatkan serahan sebanyak 6,946 unit kenderaan — dengan 6,868 unit terdiri daripada kenderaan Toyota, sementara baki 78 unit adalah kenderaan Lexus.
Angka keseluruhan itu mewakili penurunan 18% berbanding jualan 8,487 unit kenderaan yang berjaya dicapai pada bulan Mac, dengan 8,386 kenderaan Toyota dan 101 dari Lexus terjual.
Seperti dilaporkan oleh NST, UMW Holdings — syarikat induk UMWT — menyifatkan penurunan itu disebabkan oleh masalah kekurangan bekalan yang memberi kesan terhadap pengeluaran kenderaan; masalah yang sama dihadapi oleh pengeluar lain juga. Kumpulan ini menjual keseluruhan 32,600 unit kenderaan, melibatkan kedua-dua syarikat UMWT dan juga syarikat berkaitannya Perodua sepanjang April. Angka berkenaan 7.5% kurang daripada 35,246 unit yang dicapai pada Mac.
Antara model utama yang paling laris ialah Vios, Yaris, Corolla Cross dan Hilux yang dicatatkan sepanjang bulan lalu. Walaupun dengan penurunan itu, jualan semasa UMWT bagi tahun ini setakat April (YTD) adalah sebanyak 29,393 unit, iaitu 11% lebih banyak berbanding 26,431 unit yang direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.