Selepas sektor ekonomi kembali beropeasi setelah ditutup susulan pandemik, pada tahun ini dijangkakan lebih ramai pesalah trafik akan ditangkap kerana memandu di bawah pengaruh berbanding tahun lalu. Setakat ini, hampir 800 individu telah ditahan dalam tempoh empat bulan pertama 2022 disebabkan kes berkenaan, di mana ia meliputi 66% daripada jumlah keseluruhan yang ditahan atas kesalahan serupa pada tahun lalu, laporan The Star.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata seramai 759 pengguna jalan raya telah ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dari Januari hingga April lalu. “Pada tahun lalu, kami telah menahan seramai 1,155 pengguna jalan raya atas kesalahan yang sama,”ujarnya.
Malah jumlah operasi untuk mengesan pesalah trafik juga meningkat. “Antara Januari dan April tahun ini, kami telah pun melaksanakan sebanyak 110 operasi berbanding keseluruhan 150 operasi yang dikendalikan sepanjang 2021. Berdasarkan tangkapan bagi kes ini, 99.5% yang ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk ialah melibatkan kaum lelaki,” dedahnya lagi.
Sarifudin turut berkata, kesemua yang ditahan itu berhadapan dengan hukuman di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol. Hukuman yang menanti termasuklah denda minimum RM1,000 (boleh meningkat sehingga RM5,000) dan/atau penjara tidak lebih dua tahun. Bagi pesalah trafik yang pertama kali berhadapan dengan kesalahan ini juga boleh hilang kelayakan memandu atau lesen memandu ditarik balik minimum dua tahun.
Justeru, beliau menggesa orang ramai supaya mengelak daripada memandu sekiranya mereka mengambil alkohol. “Anda boleh menggunakan teksi, pengangkutan awam termasuk pengangkutan e-hailing. Dengan langkah ini, ia boleh memastikan anda tidak membahayakan nyawa anda serta pemandu lain di jalan raya,” jelasnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.