Ternyata April bukanlah bulan yang menyerlah untuk industri automotif, masih ada beberapa isu yang menjadi pendorong jualan bagi pasaran tempatan tidak begitu memberangsangkan. Selain isu bekalan kekurangan cip semikonduktor, masalah tempahan tertangguh juga menjadi faktor utama yang menyebabkan jualan kenderaan mengundang rasa dukacita.
Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan kenderaan bagi bulan April jatuh sebanyak 23% berbanding bulan sebelumnya, hanya terjual sekitar 56,213 unit, walau pun pelbagai promosi menarik dianjurkan bagi musim perayaan Aidilfitri.
Walau bagaimana pun, angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 3.6% berbanding April 2021, namun jualan terkini bagi tahunan telah mencapai kenaikan 8% atau lebih 16,000 unit berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, dengan jumlah 215,965 unit.
Prestasi jualan yang kurang memberangsangkan ini turut melibatkan dua jenama kenderaan yang berada di tangga teratas iaitu Perodua dan Proton, atas faktor yang sama iaitu kekurangan bekalan komponen selain kelewatan penghantaran. Malahan banyak syarikat yang telah memenuhi carta jualan pada bulan sebelumnya bagi tempoh tahunan kewangan yang berakhir pada 31 Mac, turut mencatatkan penurunan.
Apa yang membimbangkan, MAA menjangkakan jualan bagi Mei juga kekal pada paras yang lebih kurang sama yang didorong isu bekalan cip dan kelewatan penghantaran yang masih berterusan, selain waktu bekerja pada bulan ini yang lebih pendek disebabkan musim perayaan Aidilfitri.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.