Semalam Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, telah mengesahkan kerajaan telah memberikan kelulusan berprinsip untuk tiga projek lebuhraya baharu di Lembah Klang. Ia melibatkan projek Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD LINK), Putrajaya – Bangi Expressway (PBE) dan Kuala Lumpur Northern Dispersal Expressway (KL-NODE).
Menurut beliau, pembinaan lebuhraya baharu itu bakal mewujudkan laluan alternatif kepada pengguna jalan raya yang terperangkap dalam kesesakan akibat pertambahan bilangan kenderaan.
“Mengikut pelan pembangunan rangkaian lebuh raya yang dibangunkan dan dikaji setiap lima tahun, yang perlu ada kalau kita tengok rim basikal itu ialah jejarinya. Jadi ini yang perlu kita hubungkan supaya kalau ada kesesakan trafik ini, ada alternatif (pengguna) pindah ke lebuh raya lain. Ini yang sedang dikaji dan keutamaan akan diberikan kepada perkara tersebut,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.
Lebuh raya di sekitar Lembah Klang dilaporkan mengalami kesesakan yang teruk sejak dua minggu lalu ekoran pertambahan kenderaan yang semakin tinggi selepas penarikan balik sekatan pergerakan Covid-19.
Walau bagaimana pun, katanya, pihak kerajaan tidak dapat memberi jaminan bahawa pembinaan lebuh raya baharu itu dapat menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya disebabkan oleh kadar pertambahan kenderaan di Malaysia yang semakin meningkat.
“Walaupun jalan sudah ada, kalau kenderaan makin meningkat mungkin jalan sedia ada (lebuhraya baharu) tidak dapat menampung (jumlah trafik semasa). Sebab itu itu di peringkat kerajaan, kita buat juga pengangkutan awam seperti MRT, LRT. Ini sebahagiannya untuk memastikan pengangkutan awam menjadi pilihan kepada rakyat.
“Kalau ada 60% mengguna jalan raya, 40% lagi guna pengangkutan awam ianya akan dapat mengimbangi dengan peningkatan kenderaan, ia juga dapat mengurangkan kesesakan jalan,” ujarnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.