Ini berita baik untuk anda sekiranya ada kenderaan milik anda yang tersadai di negara jiran, Thailand susulan sekatan antarabangsa kerana pandemik Covid-19 dua tahun yang lalu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, telah memaklumkan bahawa kerajaan Thailand mengumumkan rakyat Malaysia diberi tempoh selama sebulan bermula 1 hingga 30 Jun 2022 untuk membawa pulang kenderaan mereka dari Thailand menerusi pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang.
Katanya, kenderaan milik rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari negara terbabit tidak dikenakan caj sepanjang tempoh yang diberikan, laporan Bernama
Menurutnya lagi, perkara itu dipersetujui dalam satu mesyuarat bersama 13 agensi yang terlibat pada Isnin lalu sejajar dengan pembukaan sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand di Kelantan bermula 1 Jun ini.
“Bermula 1 sehingga 30 Jun ini, kerajaan Thailand bagi tawaran dan ruang supaya kenderaan-kenderaan Malaysia yang ada di Thailand dibawa balik ke negara ini tanpa sebarang caj.
“Peluang ini diberi hanya satu bulan, jadi rakyat Malaysia yang mungkin semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu tidak dapat membawa kenderaan ataupun tersadai di sana supaya ambil tindakan untuk mengambil kenderaan mereka balik ke Malaysia,” katanya.
Jelas beliau, pihaknya menerima banyak rungutan umum berkaitan kenderaan rakyat Malaysia yang tersadai di Thailand akibat pandemik Covid-19 selain terbeban dengan kadar caj bergantung selama mana tempoh kereta ditinggalkan.
“Biasa caj tinggal kenderaan di Thailand capai RM100 atau lebih, jadi segera bertindak dalam tempoh sebulan kerana selepas itu, caj akan berkuat kuasa semula,” katanya lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.