Lesen operasi syarikat pengendali e-hailing (EHO) boleh ditarik balik atau digantung jika mereka melanggar surcaj melebihi 200% daripada tambang asas iaitu antara 70 hingga 90 sen satu kilometer, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Menurut beliau lagi, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah diarahkan menyiasat perkara itu kerana surcaj tersebut telah diputuskan pada 2019 yang menjadi undang-undang yang telah dipersetujui.
“Dari segi tambang asas untuk EHO mengenakan 70 sen hingga 90 sen satu kilometer. Mereka juga diberi kelonggaran mengenakan surcaj yang ada peraturan, melihat kepada permintaan dan penentuan harga dinamik,” katanya seperti yang dilaporkan oleh laporan The Star.
Dalam masa yang sama, beliau juga mengingatkan supaya EHO tidak terus mendesak kerajaan dengan pelbagai permintaan dan alasan atau Kementerian Pengangkutan (MOT) terpaksa mengambil tindakan mengawal selia industri itu.
“Jangan paksa saya, satu hari nanti saya terpaksa mengawal selia (industri e-hailing). Saya tidak mahu sehingga kami terpaksa ganggu ekonomi gig, sebab itu saya kata kita kena buat secara harmoni,” katanya.
Pelbagai alasan yang diberikan oleh EHO untuk menaikkan kadar tambang, antaranya
permintaan mendadak susulan pengeluaran RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan tidak cukup pemandu. Wee menyifatkan alasan itu tidak masuk akal dan dakwaan EHO bahawa MOT tidak membantu industri e-hailing sebagai amat mengecewakan kerana kerajaan telah memberi kemudahan kepada mereka untuk mencari pekerja.
“EHO meminta keistimewaan supaya Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) untuk pemandu e-hailling dimansuhkan. Saya ulang perkara yang sama, kepada mereka yang mahu berkecimpung menjadi pemandu e-hailling, mereka perlu mendapatkan PSV. Ia adalah dasar yang jelas,” tegasnya.
Tambah beliau, EHO juga tidak boleh menyalahkan MOT sekiranya mereka tidak boleh mencari pemandu kerana mereka telah diberi kelonggaran untuk kursus PSV yang dikendalikan di syarikat masing-masing.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru orang ramai yang mengalami tambang e-hailing empat kali ganda tinggi supaya tampil membuat laporan rasmi dan MOT tidak akan teragak-agak mengambil tindakan jika laporan itu didapati betul.
Setakat ini, terdapat 28 syarikat e-hailling yang beroperasi di Lembah Klang termasuk yang berkapasiti kecil selain perkhidmatan teksi.
“Ini membolehkan pengguna membuat pilihan menggunakan perkhidmatan yang lebih murah sekiranya tambang yang ditawarkan tidak munasabah.
“Saya juga ingin tegaskan di sini bahawa MOT tidak memihak kepada EHO,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna (FOMCA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengenai perkara itu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.