Selepas penghasilan prototaip, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bersedia untuk melakukan kajian atas jalan sebenar untuk sistem Motorcycle Collision Avoidance System (MCAS) mereka. Dibangunkan awal tahun 2021, sistem ini mampu mengesan kenderaan sama ada yang bergerak, ataupun berhenti di hadapan sesebuah motosikal.
Ia kemudiannya akan mengeluarkan amaran kepada penunggang, supaya mereka dapat mengelakkan perlanggaran daripada berlaku. MCAS dibangunkan untuk mengatasi masalah penawaran terhad sistem pencegah keselamatan seperti itu pada motosikal berkapasiti rendah, meskipun sistem sepertinya sudah dikaji sejak tahun 2017 dan Ducati Multistrada menjadi antara yang pertama menawarkannya dalam pasaran.
Maklumat terperinci untuk MCAS tidak didedah, tetapi kenyataan MIROS awal tahun lalu ada menyatakan tentang Light Detection and Ranging (LiDAR), yang diberitahu dapat mengesan kenderaan di hadapan dan memberikan amaran kepada penunggang untuk mengelakkan perlanggaran termasuk pada kelajuan tinggi. Sistem MCAS yang dibangunkan oleh MIROS ini juga dikatakan dapat memberi impak yang tinggi, melibatkan kos rendah, berasaskan pengguna dan mudah dipasang, termasuk pada model sedia ada.
Kajian atas jalan sebenar oleh MIROS akan dilakukan dengan kerjasama PLUS, dengan 45 unit sistem tersebut akan dibuat dan dipasang kepada penunggang motosikal persendirian yang menggunakan motosikal untuk pergi kerja di kawasan Lembah Kelang, Kedah dan Pulau Pinang. Ia akan dijalankan selepas peserta dipilih Jun ini, manakala hasil daripadanya pula akan diumumkan pada tahun 2023.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.