QC Fleet Management secara rasmi telah melancarkan van elektrik dari China, DFSK EC35 ke pasaran Malaysia. Van yang sesuai untuk tugas-tugas penghantaran ini hadir dalam konfigurasi dua- atau lima-tempat duduk, dijual pada harga bermula RM130,000 (tidak termasuk pendaftaran dan insuran).
Van ini menampilkan saiz dengan dimensi panjang 4,500 mm, lebar 1,680 mm dan tinggi 2,000 mm. Manakala ruang kabin belakang menyediakan ruang yang boleh memuatkan barang setinggi 1,270 mm, dan boleh diakses melalui pintu dengan bukaan 1,440 mm.
Ia juga menampilkan jarak kelegaan tanah setinggi 190 mm bagi mengelakkan kerosakan pada bahagian bawah sekiranya melalui bonggol atau terlanggar lubang. Manakala cermin hadapan direka lebih besar dari biasa bagi memberikan sudut pandang lebih jelas kepada pemandu.
Van ini digerakkan dengan motor elektrik berkuasa 60 kW (80 hp) dan tork maksima 200 Nm. Ini membolehkan EC35 ini mencapai kelajuan 100 km/j dan mampu membawa beban sehingga 1,090 kg. Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri lithium-ion fosfat (LFP) 38.7 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 275 km (kitaran NEDC) dengan satu cas penuh. Namun untuk pemanduan bandar, jarak realisitik yang dinyatakan adalah 200 km.
Untuk mengecas, van ini dilengkapi dengan penghubung CCS bagi membolehkan menggunakan pengecas AC dan DC. Untuk AC, dengan kadar 6 kW bateri berkenaan mengambil masa selama enam-jam untuk dipenuhkan. Manakala dengan pengecas DC pantas 40 kW, bateri tersebut boleh dipenuhkan dari 20% hingga 80% dalam masa hanya 35 minit.
Antara kelengkapan lain yang turut tampil pada van EC35 ini termasuk lampu hadapan automatik, skrin sesentuh sembilan-inci bersama hubungan Bluetooth dan empat pembesar suara, suis putar untuk memilih gear, fungsi pencari kenderaan pada kunci kawalan jauh, tingkap kuasa dan kunci pusat.
Ciri-ciri keselamatan yang diberikan termasuk sistem brek ABS bersama EBD, serta sistem pemantau angin tayar. Ia juga disertakan dengan tiga penderia undur bersama pengagak jarak dan kamera undur. Kerana van ini sangat senyap tanpa enjin, ia hadir dengan sistem amaran kepada pejalan kaki yang akan mengeluarkan bunyi ketika bergerak pada kelajuan malar di bawah 30 km/j.
Menurut QC Fleet Management, EC35 menawarkan proposisi yang menarik kepada pemilik-pemilik perniagaan kerana ia menampilkan kos yang efisien, memberikan penjimatan tahunan sehingga 33% untuk kos servis berbanding van tradisional, serta penjimatan 78% dalam kos penggunaan bahan api harian.
“Barisan kenderaan elektrik kami menawarkan solusi praktikal yang mampan untuk syrikat-syarikat yang terlibat dalam penghantaran fasa terakhir, industri ringan dan servis serta IKS. Banyak syarikat kini mencari solusi yang mampan bagi memenuhi keperluan kemampuan mereka. Bertentangan dengan pendapat popular, beralih kepada teknologi hijau tidak semestinya mahal. EC35 menawarkan syarikat jalan untuk mengurangkan jejak karbon dan kos operasi mereka pada masa yang sama,” kata pengarah urusan QC Fleet Management Lim Khoon Yee.
DFSK E35 ini bukan sahaja dibuka untuk jualan, malah ia juga ditawarkan dalam program sewa langganan dengan pilihan tempoh antara tiga hingga lima tahun. Namun untuk mereka yang memilih untuk membeli van elektrik ini, ia diberikan perlindungan waranti selama lima-tahun atau 120,000 km terhadap unit rangkaian kuasa.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.