Salah satu tabiat ramai pemandu di Malaysia ialah suka menghalang parkir kenderaan lain atau double park sebab tidak mahu jalan jauh untuk cari parkir lain. Nak jugak letak kereta paling hampir dengan tempat yang dituju.
Untuk pengetahuan anda (bagi yang tidak tahu atau buat-buat tak tahu), double park atau meletakkan kenderaan anda dengan menghalang parkir orang lain adalah perbuatan salah. Lebih-lebih lagi bila anda parkir dalam waktu yang lama dan tidak meninggalkan nombor telefon untuk dihubungi sekiranya pemilik kenderaan yang dihalang itu mahu meminta anda untuk mengalihkan kenderaan anda.
Sebagai contoh, menerusi video yang tular di media sosial baru-baru ini, seorang pemandu wanita terpaksa menunggu selama 30 minit untuk pemilik Proton Iriz muncul dan mengalihkan kenderaannya. Kejadian ini berlaku di parkir sebuah pusat perubatan yang tidak disebut lokasi sebenarnya.
Malahan tindakan pemandu Iriz yang juga wanita itu kelihatan ‘chill’ saja, macam tidak rasa bersalah dengan perbuatannya menghalang kenderaan orang lain dengan masa yang boleh dikatakan agak lama. Dia cuma mengangkat tangan dan mengambil masa untuk meletakkan anaknya di dalam kereta dan memuatkan barangan yang dibawa. Bahkan, sewaktu masuk ke dalam kereta, pemandu Iriz berkenaan kelihatan memangku anak kecilnya sebelum menutup pintu kenderaan.
Tidak dipastikan adakah selepas itu dia meletakkan anaknya duduk di kerusi keselamatan kanak-kanak atau pun terus memangku si kecil itu sambil memandu. Oh ini satu lagi kesalahan sekiranya dia memangku anaknya sambil memandu.
Suami kepada mangsa, Shahrudin Suhilee, yang berkongsikan video berkenaan di Facebook meluahkan kekecewaan di atas tindakan pemandu Iriz berkenaan. Katanya tindakan wanita tersebut menyebabkan banyak urusan isterinya tergendala termasuk menjemput anak di sekolah.
Dia berkata, “Bagi mereka yang suka meletak kereta (menghalang parkir kenderaan lain), terutamanya di tempat yang sesak seperti hospital, sila jangan mementingkan diri sendiri dan beringat untuk meninggalkan nombor telefon anda.”
Ingin kami ingatkan sekali lagi untuk semua pemandu, meletakkan kenderaan dengan menghalang parkir kenderaan lain adalah perbuatan salah. Malahan pemilik kenderaan yang dihalang itu digalakkan untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut termasuk menunda kenderaan yang menghalang anda itu.
Mungkin ada yang berpendapat, jika membuat aduan kepada polis atau PBT, tentu saja tindakan lanjut dari pihak berkenaan akan mengambil masa untuk mengalihkan kenderaan terbabit. Apa pun undang-undang tetap undang-undang.
Namun kita yang ada rasa belas ehsan ini adakalanya boleh bertimbang rasa sekiranya ada individu yang terpaksa double park ini. Tetapi tolonglah tinggalkan nombor telefon untuk dihubungi sekiranya tuan punya kenderaan yang terhalang itu mahu keluar dari parkirnya. Jangan bertindak pentingkan diri sendiri dan tiada kesedaran sivik.
Jika tidak, bersedialah untuk membayar sekurang-kurangnya RM300 iaitu kompaun atas kesalahan trafik yang anda lakukan ini. Malahan anda juga boleh didakwa di bawah Seksyen 48 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987, di mana saman maksimum RM5,000 atau penjara minimum 12 bulan, atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan ke atas pesalah jika disabit kesalahan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.