Proton X70 MC 2022 dilancarkan 9 Jun ini – X70 baharu dapat roda SE, 1.5L turbo 3-silinder dari X50?

Proton X70 MC 2022 dilancarkan 9 Jun ini – X70 baharu dapat roda SE, 1.5L turbo 3-silinder dari X50?

Proton telah pun memulakan kempen pengenalan bagi model X70 MC 2022, dengan mengesahkan SUV ini bakal dilancarkan pada 9 Jun 2022 iaitu Khamis ini. Menurut Proton, X70 MC diberikan perubahan kecil, namun lebih anggun dan menyerlah, dengan rekaan yang bakal “meningkatkan lagi pengalaman pemanduan anda”.

Imej teaser ini memaparkan roda 19-inci yang sama seperti yang digunakan pada X70 SE 2021, yang ditawarkan dengan hanya 2,000 unit sahaja. Ia menampilkan rekaan pelbagai-jejari yang kini diberikan untuk barisan yang dipertingkatkan, mungkin untuk varian Premium. Untuk pengetahuan anda, rekaan roda yang bergaya ini pertama kali diperkenalkan pada Geely Boyue Pro pada 2019.

Sebelum anda teruja yang kita bakal mendapat SUV dengan rupa Boyue Pro dengan rekaan roda yang penuh bergaya ini, harus diingatkan sekali lagi, X70 yang bakal dilancarkan Khamis ini hanyalah melibatkan perubahan kecil. Jadi ia lebih kurang sama dengan model sedia ada X70, yang tidak banyak berubah sejak dilancarkan buat pertama kalinya pada 2018 (tetapi logonya diubah untuk versi 2020).

Proton X70 MC 2022 dilancarkan 9 Jun ini – X70 baharu dapat roda SE, 1.5L turbo 3-silinder dari X50?

Sebelum ini, video pendek yang dikongsikan menerusi kumpulan Proton X70 Owner Club Malaysia Facebook telah menunjukkan roda SE ini pada X70 dalam rona Jet Grey, Space Grey dan Snow White, di mana ia tidak diberikan untuk barisan X70 SE 2021 yang hanya ditawarkan dalam warna Ocean Blue dan Ruby Red.

Jadi, selain daripada roda, mungkin peningkatan yang diberikan buat Proton X70 MC 2022 ini tidak banyak berbezanya berbanding model sedia ada. Mungkin ada sedikit pertambahan ciri untuk memantapkan lagi gaya penampilannya termasuk kemasan diffuser hitam berkilat di sekeliling corong ekzos. Selain itu, mungkin juga ia diberikan kemasan pada gril dan bampar hadapan.

Selain peningkatan gayanya, ada perkhabaran menyatakan mungkin terdapat peningkatan yang dilakukan untuk bahagian mekanikalnya, iaitu ia bakal dipadankan dengan 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder yang sama dengan X50, yang telah diberikan buat model pasaran eksport termasuk Pakistan dan Nepal sejak akhir 2020.

Proton X70 MC 2022 dilancarkan 9 Jun ini – X70 baharu dapat roda SE, 1.5L turbo 3-silinder dari X50?

Proton X70 SE 2021

Namun tidak dipastikan adakah semua model di bawah barisan X70 MC 2022 ini akan menerima enjin itu, atau masih mengekalkan penjana kuasa 1.8 liter pengecas turbo empat-silinder untuk varian spesifik. Sebagai perbandingan, enjin 1.5 TGDi menghasilkan 177 PS dan tork 255 Nm, sementara 1.8 TGDi pula dengan 184 PS dan 300 Nm. kedua-dua enjin bakal dipadankan dengan transmisi yang sama iaitu dwi-klac basah 7DCT.

Satu lagim kemungkinan ciri yang bakal dikembalikan ialah pilihan AWD, yang telah digugurkan dari barisan X70 CKD pada awal 2020. Ia mungkin dipadankan dengan pilihan enjin 1.5 liter, sama seperti pada model pasaran eksport yang disebutkan di atas.

Jadi, adakah anda teruja menantikan Proton X70 MC 2022? Tinggal dua hari lagi ia akan dilancarkan dan kami akan kongsikan perincian penuh mengenainya. Harganya pula mungkin tidak jauh beza dengan model sedia ada iaitu antara RM90k hingga RM116k dengan pengecualian cukai jualan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required