Puspakom Sdn Bhd telah mengumumkan mulai 1 Julai 2022, kesemua 54 pusat pemeriksaannya di seluruh negara akan melaksanakan transaksi tanpa tunai sepenuhnya bagi bayaran untuk semua jenis pemeriksaan kenderaan.
CEO Puspakom, Shukor Ismail berkata, peralihan kepada transaksi urus niaga tanpa tunai ini dilihat dapat menjimatkan masa, selain lebih selamat dan selaras dengan aspirasi Puspakom untuk mendigitalisasikan sepenuhnya urusan di semua cawangan. Di mana pelanggan boleh membuat bayaran secara dalam talian iaitu melalui pilihan e-dompet, kad debit atau kad kredit.
“Sejak April tahun lalu, pembayaran tanpa tunai serta pengeluaran laporan pemeriksaan dan resit secara elektronik tanpa kertas sememangnya telah dilaksanakan. Namun pembayaran secara tunai masih lagi dibenarkan ketika itu, atas pertimbangan masih ada sebilangan kecil pelanggan yang tidak memiliki e-dompet, kad debit atau kredit.
“Data bagaimanapun menunjukkan lebih 90% pelanggan Puspakom kini menggunakan kaedah transaksi tanpa tunai di semua cawangan kami. Ini jelas menunjukkan kaedah pembayaran tanpa tunai ini menjadi pilihan kerana ia lebih mudah dan cepat. Di waktu pandemik seperti sekarang, ia juga lebih selamat dari segi kebersihan”, kata Shukor.
Untuk itu, Puspakom kini menerima pembayaran melalui pelbagai pilihan e-dompet termasuk PUSPAKOM e-wallet, Maybank QRPay, GrabPay, Touch ‘n Go eWallet, Boost, WeChat Pay dan Alipay di semua pusat pemeriksaan Puspakom seluruh negara.
Malahan sejak 2017 lagi Puspakom telah mula menerima pembayaran secara dalam talian, antaranya ialah melalui kad debit atau kredit, FPX dan PUSPAKOM e-wallet bagi semua janji temu pemeriksaan kenderaan yang dibuat melalui sistem MyPUSPAKOM.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.