Selepas mula dilihat bulan lalu, dan sekali lagi minggu lepas, Toyota Vios 2023 kini menerima pula sentuhan dan bayangan digital oleh Theophilus Chin, yang telah memberikan penafsirannya tentang bagaimana rupa dan penampilan sedan segmen B Toyota ini akan dizahirkan.
Penampakan model generasi baru Vios ini minggu lalu telah memberikan sedikit petunjuk, walaupun masih mengenakan pelekat samaran. Antara yang dapat dikesan adalah gril besar yang mirip digunakan pada Corolla 2023, terutama pada bahagian jalur lintang grilnya.
Dalam video ini, Theophilus menampilkan rekaan yang sepertinya mempertemukan wajah depan Corolla, dengan memanfaatkan siluet keseluruhan Volkswagen Virtus, sebuah sedan segmen B dari pengeluar Jerman itu yang dijual antaranya di Brazil dan India.
Di bahagian sisi, Theo menjadikan rekaan bayangannya ini dengan cermin sisi dengan yang terletak lebih tinggi pada pintu, seperti Vios yang dilihat di Thailand sebelum ini, menggantikan unit sama dari Corolla yang menjadi rujukan awal rendisinya ini.
Di belakang, Theo menggabungkan rekaan lampu balakang Corolla sedan dengan Virtus, dengan tambahan kemasan yang menghubungkan kedua lampu berkenaan, berbeza daripada Vios ujian yang dilihat di Thailand itu. Bukaan di bahagian sudut bawah bampar belakang turut diterapkan sekali.
Dijangka membuat penampilan sulung di Thailand Ogos nanti, Toyota Vios generasi terbaru itu didakwa akan ditawarkan dalam dua pilihan enjin di sana — 1.2 liter NA empat-silinder petrol dan juga enjin baru 1.5 liter hibrid.
Enjin 1.2 liter berkenaan dijangka akan menjadi penawaran spesifik kepada Thailand memandangkan itu had sesaran kapasiti bagi enjin kereta eco di pasaran itu, dan enjin 1.5 liter petrol mungkin akan diteruskan untuk penawaran Vios/Yaris dipasaran lain.
Bagaimana dengan rekaan ini, nampak meyakinkan dan menjadikan Vios lebih matang atau sebaliknya?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.