Bencana alam yang menimpa negara ini khususnya banjir bagaikan tiada penyudah mahu pun jalan penyelesaian. Kini bukan sahaja di kawasan luar bandar, bahkan di bandar besar termasuk pusat bandar Kuala Lumpur juga sering kali dilanda banjir besar sehingga menenggelamkan banyak harta benda termasuk kenderaan.
Walau bagaimana pun, kesedaran terhadap pentingnya mengambil insurans perlindungan bencana alam untuk kenderaan dilihat masih rendah di kalangan masyarakat kita. Buktinya, salah sebuah syarikat insurans terkemuka, AXA, menyatakan bahawa ketika bencana banjir besar yang melanda negara pada hujung tahun lalu, hanya sekitar 18% kenderaan yang ditunda memiliki perlindungan insurans untuk banjir. Ini bermakna lebih 80% pelanggan AXA tidak mengambil pilihan perlindungan khas termasuk banjir.
Statistik dari Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) turut menunjukkan hanya 4% daripada rakyat Malaysia yang telah membeli perlindungan insurans banjir.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh AXA lagi, berbanding tahun lalu, sekitar 3.9% pemegang polisi motor AXA telah menambah perlindungan banjir untuk polisi insurans kenderaan mereka untuk tahun ini.
Emmanuel Nivet selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AXA berkata, “Pada hakikatnya, seseorang hanya sedar tentang kepentingan perlindungan insurans selepas berlakunya sesuatu insiden bila mereka tidak menerima sebarang pampasan atau tidak mempunyai cara untuk menggantikan kerugian atau kerosakan mereka.
“Pemikiran seperti ini mesti diubah kerana insurans bukan mengenai ramalan atau pelaburan, tetapi langkah bersedia terhadap risiko luar jangkaan dan memastikan perlindungan kewangan dan ketenangan minda.”
Mungkin ada yang menganggap kenyataan yang dikeluarkan oleh CEO AXA ini hanya sekadar untuk ‘memancing’ agar orang ramai memasukkan perlindungan banjir dan bencana alam ke dalam polisi mereka. Namun, hakikatnya, ada kebenaran di sebalik kata-kata itu. Untuk membaik pulih kenderaan yang ditenggelami banjir, ia melibatkan kos yang sangat besar. Maka, dengan adanya polisi insurans yang ditambah dengan tuntutan banjir, sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan bebanan kewangan yang dihadapi.
Sebenarnya tidak banyak kos tambahan yang diperlukan untuk menambah perlindungan banjir dalam polisi insurans kenderaan anda. Lihat senarai di atas yang melibatkan beberapa syarikat insurans yang menawarkan polisi ini di negara kita.
Contohnya, jika anda menginsurans kenderaan anda dengan nilai RM50,000, anda cuma perlu membayar kos tambahan sebanyak RM75 seperti mana yang ditetapkan oleh syarikat insurans MPI Generali. Untuk syarikat lain seperti Allianz, AXA, MSIG dan Tokio Marine, kos tambahan sebanyak RM100 dikenakan.
Jadi, tak rugi untuk anda menyediakan sedikit bajet bagi menampung kos tambahan untuk menambah polisi motor komprehensif kenderaan anda untuk perlindungan banjir dan bencana alam yang lain termasuk tanah runtuh, pokok tumbang yang terkena kenderaan anda dan sebagainya. Ia bagaikan keperluan masa kini kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa akan datang. Bagaikan pepatah yang menyatakan, “sediakan payung sebelum hujan”.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.