Tempahan kereta dijangka naik sebelum pengecualian SST tamat, dengan pendaftaran hingga 31 Mac 2023

Tempahan kereta dijangka naik sebelum pengecualian SST tamat, dengan pendaftaran hingga 31 Mac 2023

Bilik pameran kenderaan akan jadi sibuk hingga hujung bulan nanti, dengan jangkaan berlakunya lonjakan terhadap tempahan kenderaan susulan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semalam berkaitan status pengecualian SST selepas ini.

Beliau berkata, pengecualian SST tidak akan dilanjutkan lagi dan akan berakhir seperti yang dijadualkan kali terakhir, iaitu pada 30 Jun ini. Bagaimanapun, kerajaan memberikan kelonggaran pengecualian itu bagi semua kenderaan yang ditempah sebelum 1 Julai dan didaftarkan sebelum 31 Mac 2023.

Untuk itu, lonjakan tempahan adalah dijangkakan menjelang hujung bulan ini. Dan walaupun ini akan menyebabkan angka jualan bagi Jun meningkat, ia mungkin juga akan memberi kesan bagi jualan untuk baki tempoh sepanjang tahun ini, lapor The Star.

Tempahan kereta dijangka naik sebelum pengecualian SST tamat, dengan pendaftaran hingga 31 Mac 2023

Seorang penganalisa yang diwawancara penerbitan itu menyatakan ada kemungkinan berlakunya “lonjakan tempahan dalam tempoh 10 hari akan datang”, memandangkan bakal pembeli yang ingin mengambil kesempatan tempoh terhad yang berbaki ini sebelum pengecualian cukai ditamatkan. “Kesan utamanya termasuk ledakan jumlah tempahan sepanjang Jun, yang menyumbang kepada pembelian awal bagi tempoh separuh kedua 2022,” ujar beliau.

Sentimen ini dikongsikan oleh seorang pemerhati industri, yang memberi amaran bahawa pengakhiran pengecualian SST kali ini akan memberi kesan yang sama seperti pengecualian cukai yang dilaksanakan pada 2018. “Ketika kerajaan menarik kembali kepada sifar GST bagi tiga bulan dalam 2018, ia memberi kesan peningkatan permintaan terhadap kenderaan. Selepas tempoh itu berakhir, jualan kenderaan terkesan untuk satu tempoh masa sebelum kembali pulih,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata lanjutan masa itu akan membantu syarikat melangsaikan tempahan yang tertangguh. “Harapnya gangguan bekalan cip dan komponen dapat diatasi menjelang tempoh itu,” ujarnya.

Tempahan kereta dijangka naik sebelum pengecualian SST tamat, dengan pendaftaran hingga 31 Mac 2023

Beliau menyatakan persatuan itu berterima kasih kepada kementerian kewangan yang memberi lanjutan kepada pengecualian SST bagi kenderaan yang dijual itu hingga Mac tahun depan. “Kami mempunyai tempahan yang tertunggak, jadi lanjutan hingga Mac 2023 bagi kenderaan baru yang didaftarkan yang ditempah sebelum 30 Jun 2022 adalah sangat membantu bagi pelanggan yang perlu menunggu lama,” jelasnya, dan berpendapat langkah itu juga akan mengelak pelanggan daripada membatalkan tempahan. Beliau juga berkongsi pendapat yang sama, bahawa tempahan dan jualan akan kembali perlahan selepas 30 Jun nanti.

Pengecualian SST pertama kali diumumkan pada 5 Jun 2020 sebagai sebahagian daripada pakej pemankin Penjana untuk mengendalikan kesan Perintah Kawalan Pergerakan yang pertama sejak Mac tahun itu. Sepatutnya tamat pada 31 Disember 2020, ia dilanjutkan hingga 30 Jun 2021, dan sekali lagi kepada 31 Disember 2021. Lanjutan ketiga adalah yang dinikmati ketika ini, bakal berakhir 30 Jun 2022.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required