BMW G310RR 2022 – teaser terbaru tunjuk meter TFT

Siri teaser BMW G310RR yang disiarkan untuk pengenalannya di India diteruskan lagi dan kali ini menampakkan beberapa bahagian dengan lebih jelas termasuk panel belakang serta bahagian kokpit motosikal sports permulaan tersebut.

Seperti yang dijangka, motosikal dengan fairing penuh ini sah mendapat panel meter TFT 5.0 inci yang terletak menegak sama seperti TVS Apache RR 310. Sudah tentu, paparan di dalamnya diubah, dan apabila kunci dihidupkan ia memaparkan tulisan “BMW Motorrad” dan tema mereka “Make Life A Ride.”

Jika melihat kepada model yang digunakan sebagai asas untuk G310RR ini, iaitu TVS Apache RR 310, meter berwarna penuh tersebut bukan sahaja memberi paparan yang menarik, malah boleh disambung kepada telefon pintar, dan memaparkan pelbagai informasi serta fungsi termasuk data tunggangan, tarikan G, analisis corak tunggangan serta pelbagai lagi.

Bahagian lain yang boleh kita lihat melalui video teaser pendek ini adalah seperti fork yang berwarna hitam (Apache menggunakan warna emas) dan tidak mempunyai sebarang pelarasan, kerangka warna merah, anak kunci mengikut bentuk sendiri BMW (berbeza dengan Apache) serta kedudukan pemegang yang sama seperti Apache.

Spesifikasi teknikal dua model ini juga dijangka tidak berbeza, dan jika melihat kepada TVS Apache 310 RR, ia dipacu oleh enjin empat strok satu silinder penyejukan cecair 312.2 cc, bersama padanan kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan 34 PS pada 9,700 rpm dan 27.2 Nm tork pada 7,700 rpm. Motosikal ini juga datang dengan empat mod tunggangan iaitu Rain, Urban, Sport dan Track.

Tiada pelarasan untuk bahagian suspensi, dan ia melibatkan fork USD di hadapan dan monoshock dengan tabung gas di belakang. Rim bersaiz 17 inci dan dibalut tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang. Kedua-dua bahagian hadapan dan belakang mendapat brek cakera, dan dilengkapi dengan ABS yang mempunyai dua mod. Berat keseluruhan Apache 310 RR adalah 174 kg, dan ia datang dengan tangki bahan api berkapasiti 11 liter.

GALERI: TVS Apache RR 310 di India

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required