Menurut laporan Hankyung dari Korea Selatan, Hyundai merancang untuk menamatkan produksi bagi model Veloster pada bulan hadapan, dengan model tahun 2022 yang terakhir dikeluarkan di kilang Ulsan.
Jika benar, Veloster tiga-pintu ini akan digugurkan dari sebahagian barisan Hyundai selepas 1 11 tahun dikeluarkan. Veloster generasi pertama mula diperkenalkan pada tahun 2011 dalam acara North American International Auto Show (NAIAS) yang berlangsung di Detroit. Sementara generasi kedua pula diperkenalkan pada tahun 2018.
Baru-baru ini, dilaporkan barisan Veloster untuk Amerika Syarikat hanya ditawarkan dengan versi tertinggi N sahaja, manakala varian biasa digugurkan keseluruhannya.
Prestasi jualan yang tidak memberangsangkan menjadi salah satu penyebab mengapa pengeluaran Veloster tidak diteruskan, dan ada laporan turut menyebut Hyundai mahu menumpukan jumlah produksi bagi Kona generasi akan datang, yang akan dikeluarkan di fasiliti Ulsan. Model masa kini Kona ditawarkan dengan varian N, dan permintaannya melebihi Veloster.
Malahan ada juga laporan menyatakan, pembeli lebih senang memilih model Elantra N (juga dikenali sebagai Avante N) yang lebih praktikal dan lebih “normal” berbanding Veloster N yang terjual sekitar 90 unit di Korea Selatan antara Januari-April tahun ini, manakala sedan terbabit pula laris sebanyak 1,624 unit dalam tempoh yang sama. Sementara itu, jualan bagi peringkat global untuk Veloster N pula sebanyak 1,214 unit, berbanding 2,087 unit untuk Elantra N.
Disebabkan permintaan yang ‘menyedihkan’ itu, Hyundai mungkin boleh menggunakan kos pengeluaran yang diperuntukan untuk Veloster untuk pembangunan dan pengeluaran model lain yang lebih menguntungkan. Satu lagi model yang mungkin berdepan dengan penamatan pengeluaran ialah Ioniq (bukan versi EV) yang akan dihentikan produksinya pada bulan hadapan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.