Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan bahawa lori-lori bersaiz besar kini diharamkan untuk masuk ke Kuala Lumpur ketika waktu puncak berkuatkuasa serta merta. Pengharaman yang melibatkan lori-lori dengan berat melebihi 7.5 tan tersebut telah dimuktamadkan oleh jawatankuasa khas yang diwujudkan untuk mencari penyelesaian bagi mengurangkan kesesakan jalan raya di bandaraya berkenaan.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan bahawa mana-mana kenderaan berat yang dikesan memasuki Kuala Lumpur pada waktu puncak akan diambil tindakan di bawah Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Mereka yang melanggar larangan ini akan dikenakan kompaun mandatori dan kami akan mengambil pendirian untuk bertegas dengan tidak mempertimbangkan sebarang rayuan yang mungkin mereka kemukakan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa khas itu semalam, lapor Bernama.
Selain dari langkah pengharaman ini, jawatankuasa itu juga telah memutuskan untuk menghentikan parkir tepi pada waktu puncak dan akan menghapuskan tempat letak kenderaan awam di jalan-jalan utama secara berperingkat-peringkat. “Kami juga melarang peniaga daripada menjalankan perniagaan di atas turapan pada waktu puncak dan akan menghentikan secara berperingkat tempat berniaga di atas turapan jalan utama,” tambah timbalan menteri itu.
Jawatankuasa itu menjelaskan bahawa masalah kesesakan yang dihadapi oleh bandaraya tersebut adalah disebabkan peningkatan 45 peratus dalam jumlah kenderaan di jalan raya selepas perintah kawalan pergerakan dilonggarkan pada Ogos tahun lepas, dengan 46.76 juta dicatatkan pada Disember 2021 berbanding 26.51 juta pada Disember 2019.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.