KTM 450 Rally Replica diperkenal – hanya 70 unit, banyak guna kelengkapan sama seperti jentera Dakar

KTM 450 Rally Replica diperkenal – hanya 70 unit, banyak guna kelengkapan sama seperti jentera Dakar

Kehebatan KTM dalam dunia rali motosikal seperti Dakar dan pelbagai lagi memang sudah diketahui, dan kini orang awam juga boleh menikmati jentera yang hampir sama dengan penawaran 450 Rally Replica. Ini bukan sekadar sebuah motosikal yang mengikut rupa bentuk sama, tetapi juga mempunyai kelengkapan serta prestasi seperti jentera rali pengeluar dari Austria tersebut.

Melihat terlebih dahulu kepada badannya, motosikal yang dihasilkan hanya sebanyak 70 unit ini menggunakan perumah meter dan navigasi jenis tower manakala tangki minyaknya, selain di hadapan, turut ditambah dengan satu lagi tangki di belakang untuk menjadikan keseluruhan kapasitinya sebanyak 33 liter.

Di sebalik panel badan plastik itu terdapat casis spesifikasi lumba dengan kerangka trellis besi chromium-molybdenum yang berbeza berbanding EXC-F 450, serta lengan ayun aluminium, dan disambung kepada roda melalui fork WP XACT Pro 48 mm dengan teknologi Cone Valve serta monoshock WP XACT Pro. Kedua-dua bahagian suspensi ini boleh dilaras sepenuhnya mengikut keperluan penunggang dan turut dibantu dengan steering damper boleh laras di tengah pemegang.

Bagi mengurangkan kepenatan penunggang dalam perlumbaan jarak jauh, ergonomik motosikal ini telah diubah mengikut maklum balas daripada pelumba profesional, dan tempat duduknya walaupun nampak nipis telah dibuat dengan bahan yang selesa dan mencengkam.

Pada bahagian enjin, 450 Rally Replica ini menggunakan unit satu silinder SOHC empat strok 449.3 cc dengan sistem pengurusan enjin (EMS) Keihin dan pemetaannya telah dipadankan dengan kotak udara yang menggunakan penapis Twin Air serta ekzos Akrapovic yang didatangkan standard dengan motosikal ini.

Satu lagi yang istimewa untuk model ini adalah ia menggunakan transmisi Pankl enam kelajuan yang mempunyai nisbah sama seperti jentera rali Dakar pasukan KTM Factory Racing dan berat keseluruhannya cuma 139 kg.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required