PHS Automotive Malaysia (PHSAM) hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa mereka kini merupakan pengedar sah untuk jenama Audi di Malaysia. PHS bermaksud Porsche Holding Salzburg, dan ia merupakan sebahagian dari Volkswagen Group serta antara pengedar automotif yang paling besar dan berjaya di Eropah. Malah, ia sebenarnya adalah pasukan yang sama di belakang pengedar Volkswagen di Malaysia sekarang iaitu Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM).
PHSAM dimiliki sepenuhnya oleh PHS, dan akan mewakili jenama Audi di Malaysia dalam pemborongan, pemasaran dan juga servis selepas jualan. PHSM di terajui oleh dua pengarah urusan iaitu Erik Winter dan Kurt Leitner – kedua-duanya turut menggalas tugas sebagai pengarah urusan di VPCM.
“Lanskap automotif premium sangat kompetitif, dan kami mempunyai banyak perkara yang perlu dilakukan dan pelbagai cabaran untuk diatasi, tetapi kami komited sepenuhnya terhadap pertumbuhan jenama Audi. Audi adalah salah satu jenama premium terkemuka dunia dan mempunyai pengikut tempatan yang setia merangkumi beberapa generasi, jadi ia potensi yang belum diterokai dalam pasaran Malaysia,” kata Winter.
“Fokus kami adalah untuk mengukuhkan rangkaian SUV, S line dan quattro, dengan elektrifikasi memainkan peranan utama dalam pelan hala tuju masa depan syarikat. Dengan kekuatan pengalaman pasukan kami dan disokong oleh kepakaran global PHS, kami yakin akan pertumbuhan yang mampan untuk jenama Audi,” tambahnya lagi.
Proses-proses pentadbiran sudahpun berjalan, dengan keutamaan lain diberikan untuk mengembangkan servis selepas jualan dan memperkukuhkan jaringan pengedar sedia ada bagi mencapai pertumbuhan yang menguntungkan. “Kepuasan pelanggan berada dalam kedudukan teratas dalam senarai kami, dan kami menyedari kepentingan hubungan kerja yang kukuh dengan rakan pengedar kami untuk berkembang dan mencapai sasaran kami serta meningkatkan pengalaman pemilikan untuk pelanggan kami,” kata Leitner pula.
Model-model Audi yang dibeli mulai 1 Julai akan ditawarkan dengan tiga tahun servis percuma, lima tahun jaminan perbatuan tanpa had dan lima tahun bantuan di tepi jalan. Buat masa sekarang jaringan pengedar Audi yang sudah beroperasi adalah Audi Centre di Juru dan Glenmerie, serta pusat servis Audi bertauliah di Ipoh. Manakala Audi Centre di Setia Alam akan beroperasi semula pada 1 Ogos.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.