Selepas dua tahun tertangguh disebabkan pandemik, acara Art of Speed (AOS) kembali tahun ini dan sedang berlangsung di MAEPS, Serdang selama dua hari (2 dan 3 Julai). Selain pameran pelbagai kenderaan ubah suai, setiap kali penganjurannya, pengunjung juga berpeluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah yang menarik.
Antara hadiahnya sebelum ini adalah RXZ TwinBoss (Yamaha RXZ dengan dua enjin) dan Mizuki, sebuah Mini Cooper klasik dengan enjin motosikal Suzuki Hayabusa. Tahun ini pula, AOS membuat kelainan dengan menyediakan dua unit Vespa klasik yang diubah suai dengan penggerak elektrik.
Badan Vespa tersebut telah disiapkan lebih awal, dan kemudiannya ubah suai penggantian enjinnya pula dilakukan di tapak acara. Enjin pembakaran dalaman daripada Vespa tahun 70-an itu diganti dengan penggerak elektrik daripada Elders Garage, Indonesia.
Pakej ubah suai yang disediakan oleh Elders Garage ini boleh dipasang terus (plug n play) tanpa ubah suai pada bahagian kerangka, dan disebabkan tidak mengambil masa yang lama untuk siap. Ia terdiri daripada bateri lithium ion 72 V 24 Ah, motor 3 kW, lengan ayun khas, cakera brek dan pengawal Elettrico Square Wave 80a dengan sambungan Bluetooth kepada telefon bimbit.
Bateri yang digunakan boleh dicas dari kosong ke penuh dalam masa lima jam, dan ia mampu memacu Vespa tersebut sehingga kelajuan maksimum 80 km/j. Jarak gerak yang disediakan pula adalah 60 hingga 75 km, dalam mod Eco.
Anda sendiri boleh melihat Vespa ini di AOS 2022 dan mana tahu kalau bertuah, mungkin anda juga boleh membawanya pulang. Cabutan untuknya akan dilakukan pada hari Ahad jam lima petang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.