Pejabat Syerif Daerah Escambia di Florida, Amerika Syarikat telah pun mendedahkan sebuah kereta peronda baharu sebagai tambahan dalam flit mereka minggu lalu, iaitu sebuah kereta sport Chevrolet Corvette C7 Z06. Apa yang menarik, dengan bangganya jabatan polis tersebut menyebut bahawa perolehan kereta berkenaan dibuat “tanpa membabitkan sebarang duit pembayar cukai”.
Menurut pejabat syerif tersebut, Corvette ini sebenarnya adalah sebuah kereta yang dirampas dari suspek penjenayah, manakala kerja-kerja untuk membalut grafik badan dan tingkat taraf pada kereta berkenaan dibiayai oleh Yayasan Escambia County Sheriff.
Jabatan polis tersebut tidak menyatakan dari kes mana Corvette itu dirampas, namun menurut Carscoops dengan memetik laporan berita NorthEscambia.com, kereta ini sebenarnya telah dirampas dari “pengedar dadah tempatan”.
Secara spesifiknya, Corvette yang diubah menjadi kereta peronda polis ini adalah model C7 Z06 2016 (tetapi dalam video yang disiarkan oleh polis berkenaan menyebut ia model 2017), dijana enjin 6.2 liter V8 dengan supercharger menghasilkan 650 hp/880 Nm, digandingkan dengan kotak gear manual tujuh-kelajuan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.