Susulan video berdurasi 40 saat yang tular di media sosial memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal dalam keadaan khayal kerana menghidu gam minggu lalu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya kini sedang memburu individu berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof dalam laporan Kosmo pada 2 Julai lalu, menerusi rakaman tersebut hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Seremban, Kilometer 267 Lebuhraya Utara-Selatan menuju arah selatan, melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha FZ150 berwarna hitam tanpa nombor pendaftaran.
“Dalam rakaman tersebut juga turut memaparkan suspek yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar sedang memegang sambil menghidu bungkusan plastik di tangan kirinya, disyaki sedang melakukan perbuatan menghidu gam,” katanya.
Menurutnya lagi, sehingga kini suspek terlibat sedang giat dikesan dan dikenalpasti serta siasatan lanjut masih dijalankan.
“Mana-mana orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini, boleh menyalurkan maklumat tersebut ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di talian 06-6033222 untuk tindakan lanjut oleh pihak polis,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.