Satu video telah tular di laman media sosial baru-baru ini memperlihatkan sebuah lori muatan barangan dipandu dalam keadaan yang tidak tentu arah. Hasil rakaman dari pemilik akaun TikTok Tobengshah yang dikongsikan tiga hari lalu turut mendapat perhatian netizen.
Menurut perakam video ini, dia terpaksa ‘mengiringi’ lori terbabit yang kelihatan dipandu tidak tentu arah di Lebuhraya Utara-Selatan dari Bukit Tagar menuju ke Tanjung Malim, kerana risau dengan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Pemandu lori terbabit disyaki memandu dalam keadaan mengantuk hingga menyebabkan kenderaannya sering dibrek dan bertukar-tukar lorong secara mendadak. Ternyata tindakan ini boleh membahayakan keselamatan orang lain, sekiranya lori tersebut mungkin hilang kawalan dan ada kebarangkalian merempuh atau dirempuh kenderaan lain.
Dalam masa yang sama, kelihatan kenderaan berat lain termasuk bas, lori dan trak tunda turut membunyikan hon dengan harapan pemandu lori tersebut menyedari pemanduannya dalam keadaan yang bahaya. Walau bagaimana pun, pemandu lori tersebut masih meneruskan pemanduan dengan keadaan yang sama hingga memasuki susur Tanjung Malim.
Perakam video ini turut menyatakan tindakannya memuat naik video terbabit menerusi TikTok sebagai pengajaran untuk pemandu lain supaya berwaspada dan sempat menasihati pemandu yang mengantuk supaya berhenti rehat di susur masuk/keluar (sebenarnya lebih tepat kalau berhenti rehat di kawasan yang lebih selamat termasuk di Hentian R&R). Katanya, “Biar disaman trafik, dari terbabit kemalangan.”
Bukan setakat masalah brek seperti yang terjadi dalam insiden di Tambak Johor kelmarin, tapi kes lori yang dipandu dalam keadaan bahaya sebegini juga kerap menjadi penyebab kemalangan jalan raya. Bahkan kerap juga menyebabkan banyak nyawa yang melayang gara-gara sikap segelintir pemandu kenderaan berat yang tidak bertanggungjawab ini. Satu demi satu insiden yang berlaku tetapi tidak semua yang mengambilnya sebagai iktibar untuk mengamalkan pemanduan selamat dan berhemah. Sedih tapi itulah hakikatnya!
@tobengshah mencemaskan..dari bukit tagar hgga ke t.malim..terpksa escort sebab risau mmbahayakan pemandu2 lain#fyp#burungantu ? Tiara – Raffa Affar
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.