Kalau ada yang berminat untuk tahu lebih banyak tentang kenderaan elektrik (EV), atau ada rasa nak memiliki sebuah EV, Ekspo Kenderaan Elektrik (EVx) 2022 anjuran paultan.org adalah tempat yang betul untuk anda mendapat maklumat sahih berkaitan semua aspek pembelian, pemilikan dan sebagai pengguna EV di Malaysia. Acara yang menyeluruh tentang EV ini bakal berlangsung pada 23 dan 24 Julai di Pusat Persidangan Setia City (SCCC).
Di pameran EV menyeluruh pertama di Malaysia berkenaan, anda boleh mendekati kenderaan elektrik sepenuhnya daripada pelbagai jenama, serta memandu ujinya untuk mendapat pengalaman secara langsung aspek permotoran masa depan ini. Tidak lupa juga, anda boleh berinteraksi terus dengan pemain industri dan pihak berkepentingan lain untuk faham bagaimana sebenarnya menjadi pengguna EV di negara ini. Inilah masa depan dunia automotif, dan semuanya akan dibawakan kepada anda — jangan ketinggalan!
Bagaimana membiayai EV, dan adakan kadar faedah serta tempoh pembiayaannya berbeza daripada kereta biasa? Untuk mengecas, adakah anda perlu bergantung kepada kemudahan awam atau ada pengecas sendiri di rumah? Berapa kos untuk pasang di rumah? Single phase atau three phase, 20 A atau 32 A, 7 kW atau 11/22 kW? AC atau DC? Bagaimana pengecas pantas berfungsi, dan berapa kosnya? Berapa lama bateri mampu bertahan, dan secepat mana prestasinya menurun mengikut masa?
Semua soalan ini sering bermain dalam fikiran ramai orang ketika membayangkan tentang EV. Ia topik yang agak baru di Malaysia, dan banyak juga maklumat yang tersebar, sama ada tepat atau sebaliknya. Di pameran EVx nanti, anda boleh mendapatkan maklumat terperinci dan jelas untuk semua persoalan yang dimaksudkan itu, sama ada daripada pihak terlibat atau pemilik sebenar dan juga pakar industri. Semuanya di bawah satu bumbung.
EVx akan meliputi segenap aspek minat yang berkaitan, termasuk kenderaan dan pameran produk, pandu uji, forum oleh pakar industri, perbincangan mengenai pemilikan dan banyak lagi. Jenama yang ikut serta termasuklah Pertronas, BMW, Mercedes-Benz, Volvo, Tesla (melalui Vision Motor Sports), EV Connection, Exicom, RHB dan banyak lagi.
Mereka yang ingin membuat tempahan untuk EV juga boleh berbuat demikian di acara ini, dengan 70 pelanggan pertama akan menerima hadiah EVx, lengkap dengan baucar filem penapis haba V-Kool dan penapis udara Blueair bernilai RM1,000. Pembeli juga akan menikmati kadar pinjaman yang menarik untuk EV daripada RHB.
Acara ini terbuka untuk orang ramai, dan masuk adalah percuma. Penulis dan hos dari paultan.org — yang kini juga pengguna EV — akan berada di lokasi sepanjang hujung minggu itu untuk menjawab sebarang pertanyaan anda. Jumpa di sana!
Klik di sini untuk tahu lebih lanjut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.