Sejak kebelakangan ini, kes kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan berat seperti treler semakin menjadi-jadi. Semalam, empat sekeluarga maut selepas kereta yang dinaiki terbabit dengan kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran Ipoh. Kemalangan tersebut membabitkan sebuah treler tanpa muatan yang dipandu dari arah Taiping menghala ke Bukit Beruntung, Selangor, telah merempuh sebuah kereta yang dinaiki empat sekeluarga dari arah belakang, sebelum merempuh lima lagi kenderaan lain.
Pagi tadi, di Pasir Puteh, Kelantan, seorang wanita maut, manakala empat lagi termasuk bayi cedera selepas terbabit kemalangan yang turut melibatkan sebuah SUV, dua lori, tiga kereta, dua motosikal dan 21 basikal. Ia turut menyebabkan sebuah daripada lori yang membawa muatan besi terbalik dan menghempap kenderaan lain.
Perkara menyayat hati ini turut menarik perhatian Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. Menerusi entri yang dimuatnaik di Facebook rasminya, beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan agensi-agensi dan pihak yang berkaitan termasuk JPJ, MIROS serta Puspakom untuk meneliti kes kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan berat dengan lebih menyeluruh. Kaedah penyelesaian yang berkesan perlu disegerakan.
“Selain mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah, saya juga melihat keperluan melaksanakan ujian saringan kepada para pemandu bagi mengelakkan mereka memandu dalam keadaan dipengaruhi dadah atau alkohol.
“Menerusi kerjasama pihak PDRM dan AADK, ujian saringan ini mungkin boleh dilakukan secara berkala, dibuat secara mengejut dan dilaksanakan di pelbagai lokasi termasuk di pejabat-pejabat syarikat pengangkutan dan logistik,” katanya.
Jelas beliau, mana-mana syarikat juga perlu bertanggungjawab sepenuhnya terutama jika hasil siasatan mendapati kenderaan mereka tidak diselenggara dengan baik, tidak mematuhi peraturan dan seumpamanya.
“Kita tidak mahu syarikat-syarikat yang tidak bertanggungjawab ini lepas tangan dan hanya tamak mengaut keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan keselamatan pekerja iaitu pemandu dan juga pengguna jalan raya yang lain.
“Syarikat-syarikat dan para pemain industri juga perlu memandang serius perkara ini terutamanya dalam memastikan keselamatan pekerja-pekerja mereka sentiasa terjamin. Undang-undang yang digubal perlu dipatuhi dan dihormati sepenuhnya, ianya bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan nyawa manusia,” tambahnya lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.