MINI telah mendedahkan Cooper SE (juga dipasarkan sebagai MINI Electric) versi convertible (bumbung boleh buka) kepada dunia. Walaubagaimanapun, ia bukanlah sebuah model produksi, tetapi dibuat khas hanya untuk menunjukkan kemampuan mereka menghasilkan kereta elektrik dengan bumbung boleh buka pada masa hadapan.
Mengambil badan Cooper S Convertible sebagai asas, jurutera MINI kemudiannya memasukkan penggerak elektrik Cooper SE ke dalamnya tanpa sebarang masalah. Hasilnya, ruang but Cooper SE Convertible masih kekal pada 160 liter, manakala dimensinya pula sama seperti Cooper S Convertible, iaitu 3,863 mm panjang, 1,727 mm lebar, 2,495 mm tinggi dan jarak roda 2,495 mm.
Motor elektrik yang terletak di hadapan kereta ini mampu menghasilkan 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan 270 Nm tork, sama seperti Cooper SE dengan bumbung biasa. Spesifikasi bateri tidak didedah, tetapi ia sepatutnya sama seperti Cooper SE, iaitu unit lithium ion 32.6 kWh memandangkan jarak gerak 230 km yang diberitahu juga tidak berbeza jauh dengan Cooper SE.
Bumbung fabrik pada model ini boleh dibuka dan ditutup dalam masa 18 saat, pada kelajuan sehingga 30 km/j dan disediakan dengan tiga tetapan iaitu buka, tutup atau seperti bumbung suria. Dengan kelengkapan untuk bumbung ini yang lebih berat, pecutan 0-100 km/j Cooper SE Convertible juga menjadi sedikit perlahan, iaitu 7.7 saat, berbanding 7.3 saat yang dicatat versi biasa.
MINI juga diketahui sedang mengusahakan MINI Cooper generasi seterusnya, yang akan ditawarkan sebagai sebuah kenderaan elektrik, untuk menyokong visi syarikat ke arah elektrik sepenuhnya menjelang 2030. Dengan pendedahan model ini, kita juga boleh menjangka nanti akan ada MINI elektrik versi bumbung boleh buka.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.