Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong telah mengesahkan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya bakal menerima 19 tren baharu yang memiliki empat gerabak secara berperingkat sehingga Disember 2024. Tren baharu itu adalah di bawah projek Kenderaan Tambahan Kuala Lumpur (KLAV 27) bernilai RM1.72 bilion yang dilaksanakan pada 2017.
Menurut Dr.Wee, melalui KLAV 27, kerajaan melalui PRASARANA telah menganugerahkan kontrak pembekalan kepada Hartasuma Sdn Bhd. Setakat ini, Hartasuma telah menyerahkan lapan tren baharu empat gerabak pada tahun lalu dan bakinya dijadual akan diserahkan bermula Julai 2023 sehingga Disember 2024.
“Penambahan tren baharu amat tepat pada masanya untuk menggantikan tren lama yang digunakan sekarang. Tren dua gerabak sedia ada akan digantikan dengan empat gerabak, namun dalam masa sama, beberapa tren sedia ada masih akan digunakan untuk mengurangkan kesesakan apabila ia berlaku,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Hartasuma Sdn Bhd di Pulau Indah semalam untuk menyaksikan keupayaan tempatan dalam pembuatan rolling stock atau pengangkutan rel.
Jelas beliau, Hartasuma adalah syarikat tempatan yang telah membuktikan kejayaan memasang gerabak kereta api sejak bertahun-tahun lalu. Syarikat ini juga bertanggungjawab menjalankan pemasangan ‘bogie’ atau dek roda sepenuhnya di Malaysia untuk 19 set tren yang terakhir.
“Mereka telah meningkatkan kepakaran tempatan dan projek ini 45% adalah daripada kepakaran dan sumber tempatan. Ini satu kejayaan kepada negara dalam memperkasakan ekosistem rel nasional dan saya mengharapkan sumbangan tempatan akan terus meningkat tidak lama lagi.
“Ia akan menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam industri rel,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.