Sejak beberapa bulan lepas, Mahindra telah menyiarkan beberapa siri teaser pendek yang menunjukkan bahagian tertentu tiga model elektrik yang dianggap masih lagi merupakan model konsep berdasarkan bentuk cermin sisi, rim, tempat duduk serta beberapa lagi bahagiannya.
Kini, pengeluar dari India itu mengeluarkan satu lagi teaser, dan kali ini menunjukkan ada lima SUV elektrik, yang akan didedah buat kali pertama pada 15 Ogos ini. Teaser terbaru ini cuma menampakkan bayangan tepi semua SUV tersebut.
Empat daripadanya dilihat mempunyai bentuk seakan SUV coupe, dengan bumbung yang rendah di bahagian belakang serta cermin belakang yang condong, sementara satu lagi mempunyai bentuk yang lebih berpetak. Saiz antara lima SUV ini juga dilihat berbeza dengan ada di antaranya mungkin dibuat sebagai SUV lima tempat duduk dan tujuh tempat duduk.
Tiada apa yang diketahui setakat ini tentang penggerak elektrik SUV ini, tetapi teaser-teaser yang dikeluarkan ada menunjukkan ciri antaranya seperti lampu LED berbentuk C, lampu suasana mengelilingi pemandu di bahagian kokpit, penukar gear yang masih menggunakan tombol serta bumbung panoramik besar.
Daripada slogan “Born Electric” yang digunakan, kita boleh menjangkakan semua SUV ini dibangunkan dari awal sebagai kenderaan elektrik, sementara ayat “Oxfordshire, UK” memberitahu bahawa ia direka di Mahindra Advanced Design Europe (MADE).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.