Pemohonan lesen teksi individu untuk orang awam dilanjutkan sehingga hujung tahun ini – KP APAD

Pemohonan lesen teksi individu untuk orang awam dilanjutkan sehingga hujung tahun ini – KP APAD

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengumumkan pemohonan bagi lesen teksi dan kereta sewa individu di bawah perniagaan milikan tunggal dan perkongsian untuk orang awam dilanjutkan sehingga hujung tahun ini. Perkara ini disahkan sendiri oleh Ketua Pengarahnya Datuk Azlan Shah Al-Bakri menerusi program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM baru-baru ini.

Sejak ia dibuka pada April lalu, kuota kelulusan Lesen Teksi dan Kereta Sewa ditetapkan sebanyak 1,000 lesen bagi tahun 2022. Walau bagaimana pun, sehingga tarikh akhir permohonannya pada 30 Jun lalu, hanya sekitar 200 lesen atau 20% kuota sahaja yang telah dipenuhi. Justeru, Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui APAD telah memutuskan untuk melanjutkan pembukaan pemohonan lesen ini.

“Jika dahulu, banyak pemberian lesen teksi diberikan kepada syarikat dan syarikat terbabit yang akan memajakkan kenderaan atau permit kepada individu. Namun selepas mendapat maklum balas daripada pemain industri yang berpendapat demi kelangsungan hidup, lesen berkenaan wajar dibuka secara individu. Atas keprihatinan kerajaan, maka kami melaksanakan program ini.

“Malah kita menjadi satu-satunya negara di dunia ini yang memberikan lesen teksi secara individu, bukannya sekadar menerusi syarikat. Bukan itu saja, kita longgarkan lagi syarat pemohonan. Kalau melihat statistik, 40% demografik pemain industri ini adalah di kalangan mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Jadi kita longgarkan syarat untuk memudahkan pemain-pemain industri sedia ada dan yang baharu untuk memohon. Secara tak langsung, pengangkutan awam dapat menjadi pemangkin ekonomi negara,” katanya.

Pemohonan lesen teksi individu untuk orang awam dilanjutkan sehingga hujung tahun ini – KP APAD

Menurut kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh MOT sebelum ini, syarat permohonan kali ini juga berbeza di mana APAD telah memansuhkan keperluan syarat pengalaman memandu teksi atau kereta sewa antara satu hingga tiga tahun yang termaktub di bawah Program Transformasi Industri Teksi (TITP) sebelum ini. Namun yang demikian, syarat-syarat lain masih dikenakan bagi memastikan penyertaan pemohon adalah kekal berdaya saing dan berkualiti dalam usaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penumpang.

“Dulu kita perlukan sekurang-kurangnya pengalaman selama tiga tahun dari aspek memandu teksi, kemudian dikurangkan kepada setahun, barulah boleh memohon lesen teksi individu. Namun sekarang ini, tidak perlu ada pengalaman langsung pun tidak mengapa, asalkan individu terbabit memilik lesen pengangkutan awam (PSV).

“Selain itu, individu terbabit tidak boleh muflis, harus mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM sama ada untuk syarikat pemilikan sendiri atau perkongsian, tidak disenarai hitam oleh PDRM, APAD dan JPJ serta mempunyai 30% bukti keupayaan kewangan untuk mengeluarkan kenderaan atau menggunakan kenderaan sendiri dengan menunjukkan geran milikan. Walau bagaimana pun, penjawat awam tidak dibenarkan untuk memohon lesen teksi, termasuk juga lesen bas dan lori,” katanya.

Berkenaan dengan usia kenderaan yang layak diluluskan untuk dijadikan teksi pula, Azlan berkata, “Kenderaan itu perlu berusia maksimum 10 tahun dan ke bawah. Jika dulu, tidak boleh lebih tiga tahun. Tapi kini kita sudah tetapkan had usia kenderaan untuk memudahkan cara pemohonan.

Pemohonan lesen teksi individu untuk orang awam dilanjutkan sehingga hujung tahun ini – KP APAD

“Kalau kenderaan sudah berusia sembilan tahun, lesen yang diberi hanya untuk setahun sahaja. Kalau (kenderaan) berusia lima tahun, lesen hanya untuk lima tahun. Kami memberikan fleksibiliti untuk pemain-pemain industri sedia ada atau pun yang baru demi kelangsungan hidup. Di samping membantu menjana ekonomi negara, mereka juga dapat memperoleh pendapatan sendiri,” jelasnya lagi.

Beliau turut menambah, pihakknya juga mengalu-alukan pemandu wanita untuk memohon. Sehingga kini, lebih kurang 3% pemandu wanita yang memiliki lesen teksi.

“Kalau kita lihat, wanita sekarang tak macam dulu. Di Prasarana sendiri, kita ada pemandu bas wanita yang ada lesen bas. Bukan mudah untuk memandu bas, terutamanya di kota besar seperti di Kuala Lumpur. Tapi dengan adanya semangat berdaya saing, mereka boleh melakukannya. Malahan kita tidak membeza-bezakan antara pemandu lelaki dan wanita, semuanya menerima inisiatif yang sama. Kita mahu membantu mereka demi kelangsungan hidup dan ia menjadi touch point antara golongan B40 dengan kerajaan,” katanya lagi.

Menjawab soalan mengenai kadar tambang teksi, beliau menjawab, “Pada masa ini, dalam beberapa minggu lalu terdapat rungutan dan rintihan di kalangan pengguna mengenai kadar tambah e-hailing yang naik mendadak. Ia disebabkan permintaan yang tinggi dan penawaran yang kurang. Tambang e-hailing tidak dikawal selia, tidak seperti (tambang) teksi. Bila perkara ini berlaku (tambang e-hailing naik), permintaan terhadap teksi semakin meningkat.

“Cuma apa yang kita inginkan, bagi memastikan daya saing dapat dipertingkatkan (termasuk kadar tambang yang dikawal selia), permintaan (teksi) dilakukan secara melalui atas talian termasuk aplikasi. Buat masa ini, gunakan aplikasi yang telah sedia ada. Ada juga persatuan teksi yang sedang membangunkan aplikasi sendiri, pihak kerajaan sangat mengalu-alukannya tetapi ia perlu menepati syarat yang ditetapkan.”

Azlan turut berkata, sejak pemohonan lesen teksi individu ini dibuka pada orang awam sejak 18 April lalu, pihaknya paling banyak menerima pemohonan dari individu yang berada di sekitar Lembah Klang.

“Kami membuka kuota sebanyak 1,000 unit permit teksi individu sehingga hujung tahun ini. Jika ada lebih permintaan, jumlah permit akan akan ditambah lagi bersesuaian dengan permintaan. Setakat ini, lebih kurang 200 permit sahaja yang telah dikeluarkan, masih berbaki 800 unit lagi. Justeru, kami berharap dengan adanya platform yang sedia ada ini, ia dapat membuka ruang dan peluang untuk mereka yang ingin memohonnya. Jika ada kes yang tidak mampu, kami akan bantu termasuk pemberian geran sedia ada, dan banyak lagi kelonggaran lain,” katanya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required