Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan menerusi pelbagai operasi pemeriksaan motosikal yang dijalankan, ramai penunggang motosikal berkuasa tinggi dikesan menggunakan lesen percubaan (Lesen L) untuk tempoh lama. Malah ada di antara mereka yang turut menyertai konvoi bermotosikal ke merata tempat.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadly Ramli, hasil pemeriksaan mendapati golongan itu tidak pernah memperbaharuinya kepada lesen penuh (Kelas B), laporan Bernama.
“Ada juga dalam kalangan mereka (penunggang motosikal berkuasa tinggi) yang tidak mempunyai kedua-dua lesen (Lesen L serta Kelas B) dan sepatutnya tidak boleh menunggang motosikal berkapasiti melebihi 250cc,” katanya yang turut menasihati agar golongan itu segera mendapatkan lesen Kelas B bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.
Beliau berkata demikian sewaktu pelaksanaan Op Lejang Fasa 1 di Plaza Tol Bentong, semalam. Dalam operasi terbabit, katanya, lebih 3,000 motosikal diperiksa, termasuk 796 diambil tindakan atas pelbagai kesalahan, dalam operasi bermula jam 8 pagi tadi.
“Melalui operasi ini, kesalahan paling tinggi dilakukan ialah tidak memiliki lesen memandu dan tiada cukai jalan yang sah,” katanya.
Dalam masa yang sama, pihaknya turut memberi nasihat kepada pemilik dan penunggang motosikal supaya mengelak daripada terlibat dengan sebarang kegiatan lumba haram dan menunggang motosikal secara berbahaya yang boleh menyebabkan kemalangan dan kematian di jalan raya.
“Mereka yang terlibat dalam kegiatan lumba haram dan menunggang motosikal secara berbahaya, tindakan tegas termasuk penyitaan motosikal di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dikuatkuasakan,” tegasnya sambil memaklumkan sejak 2018 hingga Jun lalu, sebanyak 3.7 juta motosikal diperiksa dan 1.3 juta motosikal diambil tindakan oleh JPJ.
“Antara kesalahan tertinggi direkodkan ialah tiada lesen memandu (471,665), tiada Lesen Kenderaan Motor (313,174) dan tiada perlindungan insurans (299,772),” katanya.
Tambahnya, JPJ akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di lebuh raya serta jalan Persekutuan dan negeri dari semasa ke semasa dalam usaha menangani kegiatan lumba haram serta menunggang secara berbahaya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.